'Tajuddin tidak ditahan di lokap, sedang berehat di rumah'

Tajuddin
Tajuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Sumber terdekat kepada bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menafikan Ahli Parlimen Pasir Salak itu ditahan di lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber berkenaan, Tajuddin dibebaskan dengan jaminan SPRM pada Khamis.

Ketika dihubungi Sinar Harian pada pagi Jumaat, sumber berkenaan memberitahu bahawa Tajuddin sedang berehat di kediamannya.

“Tidak betul (dakwaan) itu. Tajuddin ada di rumah. Tak ada orang cakap dia kena tahan dalam lokap.

“Kalau dia kena tahan, mesti ada di lokap,” katanya kepada Sinar Harian.

Tajuddin juga difahamkan enggan memberi sebarang komen buat masa ini, sebaliknya mahu berehat.

Bagaimanapun, beliau dilihat memasuki Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada jam 11.30 pagi Jumaat bagi menghadiri mesyuarat dengan Sekretariat Pilihanraya UMNO berhubung persediaan parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pada Jumaat, media melaporkan Ahli Parlimen Pasir Salak itu ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna kuasa.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, kerajaan menamatkan khidmat Tajuddin sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana berkuatkuasa serta-merta.

Tindakan tersebut diambil selepas sidang akhbar dikendalikan Tajuddin bagi menjelaskan insiden kemalangan dua tren LRT yang menyebabkan sejumlah 47 penumpang cedera parah, manakala 166 lagi cedera ringan sebagai tidak profesional, biadab dan memalukan.

Tingkah laku Tajuddin sepanjang sidang akhbar selama 21 minit dan 25 saat itu juga menampakkan kedangkalan beliau berhubung fakta latar belakang kejadian, perangkaan berkaitan kemalangan sehinggakan kenyataan dikemukakan seringkali perlu diperbetulkan oleh pegawai-pegawai yang mengiringi beliau dalam sidang akhbar tersebut.

Lebih memalukan, Tajuddin secara berjenaka memberitahu wartawan keadaan kemalangan dalam terowong bawah tanah itu adalah normal dengan hanya dua tren bersama saling 'bercium'.

ARTIKEL BERKAITAN: Tajuddin Rahman ditahan SPRM

ARTIKEL BERKAITAN: Tajuddin dilihat memasuki ibu pejabat UMNO untuk mesyuarat PRU-15