Polis Perak rampas dadah bernilai hampir RM2 juta

Mior Faridalathrash (tengah) menunjukkan pelbagai dadah yang berjaya dirampas polis dalam serbuan di Ipoh.
Mior Faridalathrash (tengah) menunjukkan pelbagai dadah yang berjaya dirampas polis dalam serbuan di Ipoh.
A
A
A

IPOH - Polis Perak berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang didalangi ahli keluarga dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai hampir RM2 juta di sini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, enam suspek termasuk dua pasangan suami isteri berusia 26 hingga 34 tahun ditahan dalam enam serbuan berasingan sekitar Ipoh pada Rabu dan Khamis lalu.

"Berdasarkan risikan, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik menahan seorang lelaki di sebuah kondominium di Kampung Simee dan merampas dadah jenis ketamin dan erimin 5

"Penahanan itu membawa kepada tiga serbuan lain di Kampung Simee, Tambun dan Bercham serta berjaya menahan isteri suspek dan seorang lagi pasangan suami isteri," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Jumaat.

Menurutnya, berdasarkan siasatan, polis sekali lagi melakukan dua serbuan di kawasan Bukit Merah serta Kampung Rapat pada Khamis dan menahan dua lelaki.

"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah 12,900 pil erimin 5, 1,000 pil estacy, ketamin seberat 0.6 kilogram (kg), 13.6 kg serbuk disyaki dadah dan 183 paket serbuk minuman disyaki dadah dengan nilai keseluruhan RM1.98 juta.

"Turut disita kereta jenis Toyota Harrier, Toyota Estima, Toyota Camry, Honda Civic dan motosikal jenis Kawasaki Versys serta barangan kemas dan empat jam tangan bernilai RM262,596," katanya.

Mior Faridalathrash berkata, sindiket yang aktif sejak tahun lalu dipercayain mengedar dadah berkenaan untuk pasaran sekitar Ipoh.

Artikel Berkaitan:

"Dadah yang dirampas ini boleh menampung lebih 100,000 penagih. Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti sumber bekalan dadah berkenaan diperolehi.

"Kesemua suspek kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati," katanya.