Malaysia kini terdesak, Parlimen perlu bersidang segera

Mohamed Khaled
Mohamed Khaled
A
A
A

JOHOR BAHRU - Malaysia kini berada dalam keadaan terdesak dan kritikal yang memerlukan Parlimen bersidang untuk mencari langkah-langkah penyelesaian bagi mengatasi pandemik Covid-19.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah tersebut adalah perlu kerana negara sedang berhadapan dengan krisis dan darurat kesihatan yang meruncing dalam skala tidak pernah disaksikan rakyat sebelum ini.

"Tidak wujud tanda-tanda keadaan akan pulih dalam masa terdekat. Malangnya, Parlimen yang sepatutnya menjadi medium perbahasan dan kerjasama bipartisan boleh pula disekat daripada bersidang.

"Ini adalah satu keputusan dan perkara yang bukan sahaja mencemarkan amalan demokrasi. Tetapi meletakkan seluruh negara dalam keadaan berisiko," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan agar sebuah Kerajaan Darurat Interim dibentuk melibatkan perwakilan daripada semua parti politik supaya Dewan Rakyat kembali bersidang.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang mencadangkan agar dalam persidangan itu, usul undi tidak percaya terhadap kerajaan tidak boleh dikemukakan sehingga pandemik tersebut berjaya dikawal dan imuniti kelompok mencapai tahap 50 peratus.

Sementara itu, Mohamed Khaled merupakan bekas Menteri Besar Johor berkata, masa depan, keselamatan dan kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan bukan sesuatu boleh diperjudikan dan ditutup dengan kenyataan 'manis' yang dibuat-buat.

"Kerajaan mesti berhenti berhadapan dengan sebarang krisis dengan cara yang boleh meminggirkan amalan demokrasi," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menyokong Azalina yang bersuara berhubung keperluan mendesak untuk Parlimen Malaysia dibuka dan bersidang.

Malah, katanya, pelbagai saranan telah disenaraikan bagi membolehkan Parlimen dibuka dan bersidang dengan selamat dalam norma baharu.

"Apa yang menariknya, saranan tersebut sehingga ke tahap mencadangkan satu peletakan syarat bahawa usul berkenaan sokongan ke atas Perdana Menteri tidak akan dibawa dan dibahaskan sekiranya perkara tersebutlah yang menjadi kerisauan kerajaan," katanya.