PJS sahkan terima permohonan rasmi

Ibrahim Mohd Yusof
Ibrahim Mohd Yusof
A
A
A

[DIKEMAS KINI] Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof mengesahkan pihaknya sudah menerima permohonan rasmi bagi penubuhan entiti baharu mengantikan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Menurut Ibrahim, sebelum ini wakil kepada 10 ahli gabungan yang mengumumkan keluar daripada PSM menyatakan hasrat untuk menubuhkan entiti baharu sepak takraw kebangsaan.

"Hari ini saya baru menerima permohonan rasmi daripada mereka, namun saya perlu meneliti secara terperinci terlebih dahulu permohonan tersebut.

"Biarpun begitu saya ingin tegaskan bahawa PSM masih lagi sebuah pertubuhan yang sah, biarpun badan induk sepak takraw negara tersebut dilucutkan keahlian daripada Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

"Dan sekali lagi suka saya diingatkan bahawa PSM juga masih berada dalam tempoh 14 hari untuk membuat rayuan kepada ASTAF berkenaan hukuman dikenakan ke atas mereka," katanya ketika dihubungi Sukan Sinar pada Khamis.

ASTAF baru-baru ini menggantung PSM daripada terbabit dalam sebarang aktiviti berkaitan sukan itu berkuat kuasa serta-merta atas dakwaan melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dan ASTAF seperti dimeterai pada 14 Mac 2008.

Sehubungan itu, 10 ahli gabungan PSM mengumumkan keluar daripada badan induk tersebut, Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak), Persatuan Sepak Takraw Negeri Johor (PSNJ), Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah (Pestak), Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT).

Turut mengikut langkah adalah Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya (Pestap), Persatuan Sepak Takraw Perak Darul Ridzuan (Persedar), Persatuan Sepak Takraw Negeri Sarawak (PSS), Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans) dan Persatuan Sepak Takraw Negeri Sabah (Astaka).

Artikel Berkaitan:

Persatuan Sepak Takraw Perlis (PSTPs) difahamkan yang digantung daripada ahli gabungan PSM pada 2018 turut memberi sokongan kepada penubuhan persatuan baharu.