X

Kindly register in order to view this article
!

Kaedah pengurusan hospital perlu dipertingkat

Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu meningkatkan kaedah pengurusan hospital di negara ini bagi memastikan kes Covid-19 dapat ditangani dengan baik.

Profesor Ekonomi dan Polisi kesihatan, Universiti Kuwait, Profesor Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid berkata, kepakaran terkini dalam kalangan rakyat Malaysia perlu digunakan bagi membantu sistem kesihatan.

Beliau memberitahu, sukar untuk menyekat peningkatan kes apabila masyarakat tidak mengoptimumkan aktiviti mereka.

“Kaedah pengurusan hospital harus dipertingkatkan. Kita harus menggunakan kepakaran terkini rakyat Malaysia yang mungkin di luar daripada KKM untuk membantu.

“Contohnya, kaedah memberikan rawatan klinikal terkini yang dilakukan oleh banyak negara luar,” katanya pada Khamis ketika Wacana Sinar edisi ke-260 yang bertajuk Covid-19: Malaysia di Ambang Kritikal yang disiarkan di platform Sinar Harian.

Turut menjadi panelis, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Pengarah pusat Penyelidikan, pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC), Profesor Dr Sazaly Abu Bakar dan Pengarah Perubatan, Universiti MAHSA, Profesor Dr Mustafa Ali Mohd manakala Ismail Adnan sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Dr Syed Mohamed berkata, perkara tersebut perlu diperincikan dengan lebih baik agar kes yang berada di unit rawatan rapi (ICU) dapat dirawat.

Menurutnya, setiap kematian yang berlaku juga perlu diselidik dengan terperinci supaya dapat mengetahui kesilapan yang dilakukan.

“Kita memerlukan data tetapi perkara itu tidak dikongsi,” katanya.

Tambahnya, KKM juga perlu mengkaji semula fungsi dan peranan yang perlu dimainkan oleh hospital.

Ini kerana, jelasnya, terdapat fungsi KKM yang tidak diperlukan seperti penyelidikan dan latihan.

“Itu bukan perkara utama kerana perkara itu sepatutnya dilakukan oleh universiti atau institusi penyelidikan. Ini kena lihat dengan jelas supaya staf boleh melakukan tugasan lain dengan optimum.

“Kalau pegang terlalu banyak fungsi, kita tidak akan menjadi satu institusi yang baik. KKM harus berikan tumpuan kepada pemberian kesihatan, sebagai 'regulator' dan penggubal polisi,” ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!