‘Kumpulan 11’ dapat restu ASTAF

Markiman
Markiman
A
A
A

PERSEKUTUAN Sepak Takraw Asia (ASTAF) seakan-akan sudah 'merestui' penubuhan entiti baharu bagi menggantikan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Presiden Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Datuk Markiman Kobiran, pihaknya telah menerima surat sokongan daripada ASTAF sebelum menyerahkannya kepada Pesuruhjaya Sukan untuk kelulusan pendaftaran sebagai pertubuhan yang sah.

“ASTAF sebenarnya sudah bersedia iktiraf kami yakni ahli-gabungan yang telah keluar daripada PSM dengan mengeluarkan surat sokongan itu. Saya tidak begitu ingat bila terima surat itu, tetapi surat itu memang sudah ada.

“Kami juga sudah menghantar surat itu kepada Pesuruhjaya Sukan, kira macam surat sokongan daripada ASTAF untuk kelulusan kepada kami yang kini dikenali sebagai 'Kumpulan 11' menubuhkan persatuan baharu nanti.

“Sekarang kami hanya tunggu kelulusan daripada Pesuruhjaya Sukan seterusnya mendapat pengiktirafan ASTAF dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF),” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Dalam pada itu, Markiman menyarankan Timbalan Presiden PSM, Datuk Akramudin Aziz yang kini memangku tugas presiden segera melaksanakan tugas-tugas berkaitan bagi 'menyelamatkan' PSM daripada terus digantung ASTAF.

“Mungkin Akramudin masih belum sedar sekarang PSM sudah digantung ASTAF tetapi diberikan tempoh sehingga 4 Jun depan untuk memberikan maklum balas.

“Dia kena jawab dan pastikan PSM ‘selamat’ dahulu, barulah pelawa kami untuk sertai semula PSM kerana sekarang ibarat kapal nak tenggelam, takkan kami nak ikut tenggelam sama? Jadi cepatlah buat kerja, selamatkan PSM.

Artikel Berkaitan:

“Sekarang kami sudah pun mendapat surat untuk menubuhkan sebuah persatuan baharu. Kalau masih tak ada tindakan daripada Akramudin, saya pula pelawa dia untuk sertai kami,” jelasnya.

Setakat ini, 10 ahli gabungan PSM secara rasmi mengumumkan keluar daripada badan induk berkenaan iaitu Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak), Persatuan Sepak Takraw Negeri Johor (PSNJ), Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah (Pestak), Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT).

Turut mengikut langkah sama ialah Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya (Pestap), Persatuan Sepak Takraw Perak Darul Ridzuan (Persedar), Persatuan Sepak Takraw Negeri Sarawak (PSS), Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans) dan Persatuan Sepak Takraw Negeri Sabah (Astaka).

Persatuan Sepak Takraw Perlis (PSTPs) yang digantung daripada ahli gabungan PSM pada 2018 turut memberi sokongan kepada penubuhan persatuan baharu.