Pertalian darah Palestin-Melayu

No Image Caption
A
A
A

PALESTIN bumi bertuah. Bumi yang melahirkan ramai saintis ternama. Terbaharu, Palestin melahirkan saintis astrofizik, Imad Barghouthi, seorang profesor di Universiti Al-Quds di Tebing Barat. Sejak rejim Zionis menjarah semua kepentingan rakyat Palestin,orang Melayu di rantau Asia Tenggara paling aktif mendedahkan kejahatan umat Yahudi.

Kenapa orang Melayu begitu sentimental dengan nasib rakyat Palestin, khususnya golongan saintis? Sejarah membuktikan sebelum abad ke-11 SM, bumi Palestin adalah tanah kepunyaan bangsa kuno Canaan yang kemudiannya dikuasai secara paksa oleh Bani Israel dan bangsa Yahudi.

Di utara, terbentuk kerajaan Israel dan selatan dibangunkan kerajaan Judah. Kerajaan Israel diserang dan ditawan Empayar Assyria kuno menyebabkan kekacauan dan hilangnya 10 suku puak bangsa Israel yang menduduki wilayah utara bumi Canaan itu. Kajian 'The Table of Nations’ (ToN) disokong kajian DeoxyriboNucleic Acid (DNA), bangsa kuno Canaan menurunkan bangsa rumpun Austronesia, Malayo-Polynesia dan Nusantara. Di Nusantara, kaum Melayu merebak dengan cepatnya.

Kajian ToN mendapati rajah Salasilah Bani Jawi berasal daripada jaluran bangsa kuno Hamite atau Hamit yang menghasilkan bangsa besar Canaanite atau Canaan. Seterusnya, terhasilnya bangsa kecil Hittites atau Hittit. Bangsa Hittit membentuk kaum Bani Jawi dan bangsa Melayu yang ada hari ini. Bangsa Melayu ialah puak bangsa asal Canaan-Hittit yang terlebih dahulu terusir angkara pencerobohan bangsa Yahudi yang menyerang dan mengusir nenek moyang mereka daripada tanah air asal mereka di bumi Canaan (Palestin).

Apa yang penulis ingin teliti adalah sumbangan dunia Islam daripada kaum Canaan ke Eropah pada abad pertengahan dalam bidang sains dan kejuruteraan. Pada abad pertengahan, dunia Islam berada di puncak budaya kejayaan penemuan ilmu sains, membekalkan maklumat dan idea ke Eropah melalui Al-Andalus, Sicily dan kerajaan-kerajaan Salib di Levant.

Ia termasuk terjemahan Latin daripada Klasik Yunani dan teks Arab dalam bidang astronomi, matematik, sains, dan perubatan. Terjemahan teks falsafah Arab ke bahasa Latin dilaporkan sebagai membawa kepada transformasi hampir semua disiplin falsafah di dunia Latin abad pertengahan dengan pengaruh yang sangat kuat daripada para ahli falsafah Islam juga di dalam bidang falsafah, psikologi dan metafizik semula jadi.

Sumbangan lain termasuk inovasi teknologi dan saintifik melalui Jalan Sutera termasuk ciptaan China seperti kertas dan serbuk peluru serta bahan letupan.

Dunia Islam juga mempengaruhi aspek lain daripada budaya Eropah abad pertengahan, sebahagiannya oleh inovasi asli yang dibuat semasa Zaman Keemasan Islam (Islamic Golden Age) termasuk pelbagai teknologi seperti seni, pertanian, kimia, muzik, tembikar dan lain-lain.

Artikel Berkaitan:

Ada banyak bukti perkataan Arab dipinjam orang Eropah termasuk Inggeris dan Perancis. Ia termasuk nama bintang tradisional seperti istilah ‘al-debaran’, ‘al-kimia’, ‘al-jabar’, ‘al-goritma’ dan lain-lain nama komoditi seperti ‘gula’, ‘kapur barus’, ‘kapas’ dan ‘kopi’.

Pada abad ke-20, saintis, teknologis dan jurutera Palestin tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Pakar kejuruteraan pertanian terkenal, Dr Sufian Sultan yang berkhidmat dengan Kementerian Pertanian Palestin sejak 2015 ialah seorang pakar agronomi.

Dr Mohammed Shabir pula pakar mikrobiologi. Dr Hasan Abu-Libdeh pakar matematik yang telah mengasaskan pusat Biro Perangkaan Pusat Palestin pada 1993. Nama saintis seperti Dr Salem Hanna Khamis dan Dr Ali Hasan Nayfeh turut jadi pujaan di Palestin.

Pakar pharmakologi seperti Dr Ansam Sawalha; pakar fizik (Dr Hanna Nasir, Dr Munir Hasan Nayfeh, Dr Mazin Butros Qumsiyeh dan Hashem B El-Serag); pakar kimia (Dr Mahdi Muhammad Abu-Omar) dan Dr Yusef Al-Abed ialah antara sekelumit saintis terkemuka Palestin.

Justeru, umat Melayu daripada jalu-ran keturunan dan generasi DNA sama perlu membuktikan mereka mampu menyerlah dalam bidang sains serta teknologi. Apatah lagi, ALLAH SWT telah menyerlah hakikat itu dalam surah Al-Mujaadilah ayat 11.

Kesimpulannya, tidak hairanlah kenapa umat Melayu di rantau Asia Tenggara mempunyai semangat sentimental sangat tinggi kepada kesusahan rakyat Palesin. Penulis berharap hubung kait pertalian darah ini mampu menyuntik semangat umat Melayu untuk menjadi saintis tersohor.

* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteran Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor