X

Kindly register in order to view this article
!

Pemimpin politik setuju cadangan wujud kabinet interim darurat

Saranan pembentukan Kerajaan Darurat Interim dengan perwakilan daripada semua parti politik diterima baik oleh beberapa pemimpin politik.
A
A

SHAH ALAM - Saranan yang diberikan oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said berkaitan pembentukan Kerajaan Darurat Interim dengan perwakilan daripada semua parti politik diterima baik oleh beberapa pemimpin politik.

Menurut Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, perkara tersebut wajar dilakukan dan perlu dipertimbangkan oleh semua parti politik.

Beliau berkata, apabila darurat diisytiharkan dan Parlimen telah digantung, kerajaan dan kabinet tidak perlu dibentuk serta perlu digantikan dengan kerajaan interim.

“Saya setuju dengan pandangan beliau sebab kalau telah mengisytiharkan darurat dan Parlimen digantung, maka tidak adalah kerajaan yang dibentuk berdasarkan hanya sebuah parti politik.

“Jadi itu kalau kita faham perlembagaan, yang mesti ada ialah kerajaan interim. Kerajaan, kabinet sudah tidak boleh ada.

“Jadi maknanya kena buat pilihan, sama ada hendak kerajaan darurat iaitu interim ataupun kalau hendak ada kabinet kena buka parlimen,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, saranan tersebut perlu digunapakai kerana setiap idea yang dilontarkan oleh wakil Pakatan Harapan (PH) jarang diterima pakai.

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil

Beliau yang merupakan Ketua Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, dengan situasi yang kritikal kini, rakyat hanya mahukan penyelesaian yang lebih berkesan untuk mengurangkan kadar jangkitan dan tidak lagi menghiraukan keadaan politik negara.

“Bagi saya saranan beliau tidak ada masalah untuk dipertimbang. Saya percaya pada ketika ini rakyat tidak hiraukan politik. Rakyat hendak tengok penyelesaian lebih berkesan untuk kurangkan kadar jangkitan.

“Di samping itu, rakyat juga mahu prosedur operasi standard (SOP) yang tidak mengelirukan dan keupayaan untuk membantu mereka yang terkesan dari segi ekonomi ketika ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub pula berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah perlu memanggil semua ketua parti bagi membincangkan keselamatan negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Azalina kembali desak Parlimen bersidang

Jelas beliau, kenyataan yang dikeluarkan Azalina perlu diberikan perhatian dengan lebih terperinci.

“Kita harus mengambil perhatian terhadap kenyataan Azalina. Seri Paduka Baginda kena lihat kepada kepentingan negara dan panggil ketua-ketua parti. Ini lebih relevan bagi saya,” katanya.

Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong turut menyokong penuh saranan yang diberikan oleh Ahli Parlimen Pengerang.

Katanya, Parlimen harus menjadi medan yang memberi ruang kepada pembangunan negara.

“Bagi menangani penularan Covid-19, usaha untuk membaik pulih negara harus diutamakan berbanding ketamakan terhadap perebutan dan ego untuk terus berkuasa,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!