Semangat baharu Syafiq

Syafiq sedia menggalas cabaran Harimau Malaya pada Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023. -Foto: FB FAM
Syafiq sedia menggalas cabaran Harimau Malaya pada Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023. -Foto: FB FAM
A
A
A

KISAH duka kehilangan ibu mentua dan anak bongsunya dalam kemalangan jalan raya pada penghujung tahun lalu menjadi detik sukar dalam hidup penyerang Harimau Malaya, Muhammad Syafiq Ahmad.

Sambil menyifatkan insiden itu sebagai satu perjalanan hidup yang terpaksa dilalui, Syafiq berkata, dia kini sudah bersedia untuk bangkit membawa misi Malaysia dalam Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

"Bagi saya ia satu tempoh yang sukar dan akan selalu ada dalam ingatan saya. Tetapi, bagi saya bila sudah menyertai latihan dan berada dalam perlawanan, mungkin masa itu saya boleh lupakan seketika segala masalah dan berikan yang terbaik di atas padang.

"Kita memang tidak dapat lupakan perkara yang berlaku. Tetapi, saya sudah banyak bercakap dengan orang yang lebih positif, jadi apa yang terjadi adalah satu perjalanan hidup.

"Saya mesti terus berjuang demi anak dan isteri saya dan rakyat Malaysia, sekali gus membawa misi besar dalam kempen kelayakan ini," katanya dalam sidang media secara maya pada Khamis.

Kemalangan pada Disember tahun lalu itu berlaku ketika Syafiq membawa isterinya, Nur Amalina Norain yang sedang berpantang pulang ke kampung mentuanya di Pendang, Kedah.

Turut berada dalam kenderaan yang dipandu Syafiq ialah ibu mentuanya, Zainab Wahab, 45, dan dua anaknya - Aaira Nur Saffiya, 2 dan Muhammad Aisy Saqeef yang baru berusia 22 hari serta pembantu rumah warga Indonesia, Titik Sukamti, 42.

Nahas terbabit yang berlaku di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Kilometer 163.6 arah utara dekat Sungai Bakap, Pulau Pinang pada kira-kira jam 5.30 pagi itu mengorbankan Zainab, Muhammad Aisy Saqeef dan Titik.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Syafiq yang diberikan peluang bermain untuk tempoh 45 minit ketika menentang Kuwait dalam aksi pemanas badan Ahad lalu mengakui memerlukan masa untuk kembali pada tahap sebenarnya selepas kurang mendapat minit beraksi bersama Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Banyak lagi saya boleh perbaiki untuk dapatkan rentak yang lebih baik selepas lama tidak beraksi dengan pasukan kebangsaan. Sudah tentu, kita tidak boleh beri alasan lama tidak bermain sebaliknya kena cepat untuk serasi dan berada pada tahap terbaik.

"Lagipun, ini peluang terbaik untuk kita mara ke peringkat seterusnya dan apa yang perlu dilakukan adalah membuktikan keupayaan kita dalam perlawanan akan datang," ujarnya.