X

Kindly register in order to view this article
!

Penggodam komputer Korea Utara makin digeruni

Gambar fail menunjukkan beberapa anggota tentera Korea Utara menghadiri kelas di Sekolah Revolusi Mangyondae pada tahun 2018. - Foto AFP
A
A

KOREA Utara yang mengamalkan ideologi komunis dan mempunyai senjata nuklear kini didakwa secara diam-diam membina sebuah pasukan penggodam yang telah melakukan penggodaman terhadap bank dan syarikat-syarikat perniagaan gergasi di dunia.

Pasukan penggodam itu dianggap sebagai satu senjata baharu negara tersebut dan ia lebih berbahaya daripada program senjata nuklear dan peluru berpandu balistik yang dibina di bawah pemerintahan pemimpin mudanya, Kim Jong-un.

Ketika ini, Korea Utara menghadapi pelbagai sekatan antarabangsa ekoran pelaksanaan program senjata nuklear dan peluru berpandu balistik yang sedang pesat berkembang di bawah pemerintahan Jong-un.

Namun, ketika banyak negara menumpukan kepada program senjata nuklear dan peluru berpandu balistiknya, Korea Utara secara senyap-senyap membina sebuah pasukan perang siber dengan melatih beribu-ribu penggodam komputer.

"Program nuklear Korea Utara dan ketenteraannya merupakan satu ancaman jangka panjang. Namun, ancaman sibernya adalah satu ancaman realistik," kata Oh Il-seok iaitu seorang penyelidik di Institut Untuk Strategi Keselamatan Kebangsaan di Seoul.

Kemampuan perang siber negara komunis itu pertama kali mendapat perhatian antarabangsa pada tahun 2014 apabila ia dituduh menggodam syarikat Sony Pictures Entertainment milik Jepun.

Ketika itu, Pyongyang didakwa melakukan penggodaman terhadap syarikat tersebut yang telah menyiarkan filem satira berjudul 'The Interview' yang mempersendakan Jong-un sebagai pemimpin Korea Utara tersebut.

Serangan siber tersebut menyebabkan sejumlah filem 'The Interview' ditayangkan secara online sedangkan syarikat dari Jepun itu masih belum lagi meluluskan penayangannya secara maya.

Korea Utara turut dituduh menyiarkan sejumlah dokumen rahsia milik syarikat berkenaan dan menyebabkan Sony Pictures Entertainment terpaksa membina semula rangkaian komputernya.

Baru-baru ini, Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (AS), telah mendakwa tiga pengaturcara komputer Korea Utara kerana cuba memeras ugut dan mencuri lebih AS$1.3 bilion (RM5.38 bilion) sebagai sebahagian daripada satu skim global yang turut melibatkan penggodaman filem 'The Interview'.

Salah seorang penggodam itu pernah didakwa dua tahun lalu kerana peranannya dalam menggodam filem tersebut.

Korea Utara terkenal dengan program peluru berpandu balistiknya selain memiliki senjata nuklear. - Foto AFP
Korea Utara terkenal dengan program peluru berpandu balistiknya selain memiliki senjata nuklear. - Foto AFP

Namun, dalam kes terbaharu itu, ketiga-tiga rakyat Korea Utara tersebut merancang untuk mencuri lebih AS$1.2 bilion (RM4.97 bilion) dari bank-bank di Vietnam, Mexico, Malta dan beberapa tempat lain.

Mereka juga dituduh mencuri AS$75 juta (RM310.46 juta) dari sebuah syarikat mata wang kripto Slovenia dan AS$11.8 juta (RM48.85 juta) mata wang digital dari sebuah syarikat perkhidmatan kewangan New York.

Sejak itu, Korea Utara dipersalahkan berhubung sejumlah serangan siber berprofil tinggi termasuk rompakan berjumlah AS$81 juta (RM335.30 juta) dari Bank Pusat Bangladesh dan serangan perisian tebusan atau ransomware yang menjangkiti kira-kira 300,000 komputer di 150 buah negara.

Bagaimanapun, Pyongyang menafikan terlibat dalam sebarang serangan siber itu.

Washington turut menuduh Korea Utara mencuri ratusan juta dolar dari institusi-institusi kewangan dan mata wang kripto atau mata wang digital yang berkemungkinan untuk membiayai program senjata nuklear dan peluru berpandu balistiknya.

Program siber negara komunis itu bermula pada pertengahan tahun 1990an ketika pemimpinnya pada masa itu, Kim Jong-il dilaporkan berkata, perang komputer akan berlaku pada masa depan.

Ketika ini, Korea Utara didakwa mempunyai unit perang siber yang mengandungi 6,000 anggota dikenali sebagai Biro 121 dan beroperasi dari beberapa buah negara termasuk Belarus, China, India, Malaysia dan Rusia, berdasarkan kepada laporan tentera AS pada Julai 2020.

Namun, Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia pada Mac tahun ini sebagai tindak balas terhadap Putrajaya yang mengekstradisi seorang warganya ke AS untuk menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram.

Seorang pakar keselamatan siber dari firma CrowStrike, Scott Jarkoff berkata seperti dilaporkan oleh AFP bahawa anggota-anggota penggodam Korea Utara itu berdedikasi, sofistikated dan mampu untuk mengendalikan serangan balas siber.

Anggota-anggota Biro 121 dilatih menggunakan pelbagai bahasa kod di Universiti Mirim di Korea Utara, kata seorang bekas pelajar negara tersebut, Jang Se-yul yang telah berpaling tadah pada tahun 2007.

Universiti Mirim itu kini dikenali sebagai Universiti Automasi hanya mengambil 100 pelajar setahun dari pelajar-pelajar sekolah yang mendapat markah tertinggi di negara berkenaan.

"Kami diajar untuk bersedia menghadapi perang siber Amerika," kata Se-yul seperti dilaporkan oleh AFP.

Penolong Peguam Negara AS, John Demers juga pernah menganggap bahawa para penggodam Korea Utara itu merupakan perompak-perompak bank di dunia dengan hanya menggunakan papan kekunci komputer berbanding senjata api. - Agensi


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!