Bila keadilan untuk Palestin akan tiba

Kekejaman Israel memang terang lagi nyata, tetapi PBB dan AS sengaja membutakan mata.
Kekejaman Israel memang terang lagi nyata, tetapi PBB dan AS sengaja membutakan mata.
A
A
A

LEBIH lima dekad lalu, dalam Peperangan 1967 (1967 War) antara Israel dengan Mesir, Jordan dan Syria, Israel berjaya menakluki Tebing Barat, Jerusalem Timur, Gaza, Syrian Golan Heights dan Semenanjung Sinai dalam tempoh hanya enam hari.

Pada 7 Jun tahun itu, tentera Israel telah merampas bandar lama Jerusalem dari tentera Jordan, manakala bandar-bandar lain di Tebing Barat seperti Nablus, Bethlehem, Hebron dan Jericho jatuh ke tangan tentera Israel selepas itu.

Kekalahan tersebut merupakan malapetaka kali kedua bagi rakyat Palestin. Malapetaka pertama berlaku lebih awal daripada itu apabila bumi mereka dibahagi-bahagikan (seperti sekeping kuih) dan diserahkan oleh penjajah asal mereka kepada pihak lain secara paksa, tanpa persetujuan mereka.

Akibat pengkhianatan penjajah itu, mulai tahun 1948, lebih tiga suku (78 peratus) bumi Palestin dikuasai Israel, selebihnya di bawah pentadbiran Mesir dan Jordan.

Sejak itulah Israel cuba mencari legitimasi daripada masyarakat antarabangsa dan sejak tarikh itulah juga penderitaan rakyat Palestin bermula sehinggalah sekarang.

Amerika Syarikat merupakan negara pertama yang mengiktiraf negara Israel (pada tahun 1948 itu juga). Ia juga negara pertama mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu negara Israel pada tahun 2017 lalu.

Selepas merampas bandar lama Jerusalem, tentera Israel telah memusnahkan perkampungan lama Morroccan Quarter yang berusia 770 tahun, semata-mata untuk membuat satu laluan baharu bagi orang Yahudi pergi ke Western Wall (bagi orang Islam, dipanggil Dinding al-Buraq).

Kini, Israel berjaya mengusir lebih 750,000 rakyat Palestin dari tempat asal mereka, sambil memusnahkan kampung halaman mereka, semata-mata untuk mewujudkan satu ‘negara Yahudi’ (Jewish State). Pengusiran ini terus berlaku hingga sekarang, walaupun Mahkamah Keadilan Antarabangsa (International Court of Justice, ICJ) mengisytiharkan tindakannya menyalahi undang-undang antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Dalam insiden terbaru pada malam pertama umat Islam menyambut Ramadan, pertempuran di Masjid al-Aqsa itu berpunca daripada perancangan rejim Israel merampas kampung halaman rakyat Palestin di kawasan Sheikh Jarrah di Jerusalem Timur untuk dijadikan kawasan penempatan baharu Jewish settlers mereka yang dibawa masuk dari luar negara.

Walaupun Resolusi 242 PBB menghendaki Israel memulangkan semula kawasan yang telah ditawannya dalam peperangan 1967, Israel terus berdegil dan tidak mempedulinya.

Jika selepas peperangan 1967, hanya ada enam penempatan Israel di Syrian Golan Heights, pada tahun 1973, sudah ada 17 penempatan di Tebing Barat dan tujuh penempatan baharu di Gaza. Pada 1977, lebih 11,000 rakyat Israel sudah dipindahkan ke Tebing Barat, Gaza, Golan Heights dan Semenanjung Sinai.

Kini lebih lebih 600,000 rakyat Israel telah menduduki penempatan baharu mereka di Tebing Barat dan Jerusalem Timur.

Pengajaran

Persoalannya apakah pengajaran daripada kekejaman Israel? Walaupun peperangan asal adalah antara negara-negara Arab dengan Israel, yang menjadi mangsa adalah rakyat Palestin. Lebih lima dekad mereka menderita – negara dijajah, penduduk Palestin diusir dari perkampungan mereka, tanah dan harta dirampas, lebih 50,000 rumah dan bangunan telah dimusnahkan. Bahkan, lima juta rakyat hidup dalam ‘penjara terbuka’ di Gaza apabila pergerakan sentiasa diawasi.

Ada rakyat kita melihat isu Palestin ini sebagai konflik agama. Hakikatnya, ia lebih dahsyat daripada itu. Ia adalah isu kemanusiaan, isu keberkesanan undang-undang antarabangsa, isu keadilan sejagat dan isu kekejaman rejim Zionis. Tidak ketinggalan, Palestin adalah saksi kepada hipokrasi negara barat serta PBB yang lemah dan tidak berfungsi.

Jika pada satu masa dulu, Amerika Syarikat digelar sebagai satu rogue state (negara penyangak), kini tidak ragu-ragu lagi Israel adalah satu rogue state yang paling teruk sekali, mengikut David Morrison daripada The Ireland Palestine Alliance.

Jenayah perang, kemanusiaan

Perbuatan rejim Israel itu jelas sekali satu jenayah perang (war crime) dan jenayah kemanusiaan (crime against humanity).

Di bawah Statut Rome 1988 (yang mewujudkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa, ICC), istilah ‘jenayah kemanusiaan’ ditakrif di bawah Artikel 7 sebagai bererti ‘mana-mana perbuatan berikut yang dilakukan secara sistematik terhadap mana-mana orang awam’ – antaranya pembunuhan, pemindahan rakyat secara paksa, sekatan kebebasan diri yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa, penyeksaan, penindasan, apartheid dan apa-apa tindakan tidak berperi kemanusiaan.

Artikel 7 itu juga menyatakan bahawa perbuatan Israel sebagai Occupying Power memindahkan atau membawa masuk rakyatnya untuk menduduki kawasan atau wilayah yang didudukinya atau mengusir keluar penduduk asal kawasan itu adalah juga satu jenayah kemanusiaan.

Di bawah Artikel 7(2), dasar dan amalan apartheid Israel terhadap rakyat Palestin juga adalah jenayah kemanusiaan.

Istilah ‘jenayah perang’ ditakrif di bawah Artikel 8 sebagai bererti pelanggaran Konvensyen Geneva 12 Ogos 1949, iaitu tindakan seperti sengaja menyebabkan penderitaan, pemusnahan dan pengambilan harta yang dilakukan secara salah dan kejam, pengusiran/pemindahan/pengurungan secara salah.

Inilah yang telah dilakukan oleh rejim Israel selama ini.

Negara Palestin telah menyertai Statut Rome pada 2 Januari 2015. Pada 22 Mei 2018 Palestin telah meminta Pendakwa ICC menyiasat situasi di negaranya. Pada Februari 2021 lalu, ICC mengesahkan ia ada bidang kuasa membicarakan kes-kes jenayah kemanusiaan yang dilakukan oleh Israel dalam wilayah ‘Palestin Yang Diduduki’. Pada Mac berikutnya, Ketua Pendakwa ICC telah mengesahkan bahawa satu siasatan telah dimulakan oleh pejabatnya mengenai situasi di Palestin.

Israel memang satu rogue state yang mengamalkan penindasan dan apartheid. Ia juga kini jelas penjenayah perang dan penjenayah kemanusiaan. Soalnya apakah Pendakwa ICC nanti boleh mengheretnya ke pengadilan dan rakyat Palestin mendapatkan keadilan? Sama-sama kita tunggu sambil berdoa.

* Datuk Salleh Buang ialah mantan Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan kini Timbalan Pengerusi Kuala Lumpur Foundation to Criminalise War (KLFCW)