Kisah kecewa minggu ini

No Image Caption
A
A
A

KELMARIN, ramai yang meluahkan rasa kecewa apabila gagal membuat pendaftaran janji temu untuk mendapatkan vaksin AstraZeneca fasa dua.

Tatkala kes Covid-19 semakin menggila, faktor itu membuatkan ramai mahu segera mendapatkan vaksin yang hanya disediakan oleh kerajaan. Walaupun telah lama mendaftar dalam aplikasi MySejahtera seperti disarankan, namun sehingga hari ini ramai yang masih belum terpilih untuk mendapatkan vaksin.

Apa yang berlaku kelmarin membuatkan ramai yang marah apabila mereka gagal mendapatkan slot janji temu disebabkan masalah teknikal dan sistem yang lambat.

Siapa yang tak melenting kerana ada antara mereka yang telah melakukan persiapan sejam awal sebelum tempoh pendaftaran dibuka iaitu jam 12 tengah hari dengan harapan akan mendapat slot tempahan masing-masing.

Disebabkan masalah penyedia perkhidmatan laman web berkenaan, mereka tidak dapat merebut peluang yang disediakan, malah lebih mengecewakan apabila proses pendaftaran ditutup tidak sampai sejam kemudian.

Kisah kekecewaan untuk mendapatkan vaksin bukanlah perkara baharu, malah ia seminggu lebih awal dirasai oleh rakyat Pulau Pinang apabila heboh cerita mengenai kerajaan Persekutuan yang menolak sumbangan dua juta dos vaksin oleh sebuah syarikat swasta kepada kerajaan Pulau Pinang.

Masakan tidak, kalau kerajaan Pulau Pinang mendapatkan sumbangan tersebut, ramai penduduk di negeri ini yang akan mendapat manfaat, malah tidak perlu tertunggu-tunggu atau membuka aplikasi MySejahtera setiap hari untuk melihat status pendaftaran vaksin yang telah dibuat sekian lama.

Terkejut

Artikel Berkaitan:

Ramai yang terkejut dengan pendedahan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengenai perkara itu, malah ada yang sama pendapat dengan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang mendesak agar kerajaan negeri menerima sahaja sumbangan vaksin yang sangat-sangat diperlukan ketika ini.

Namun, semuanya bertukar kecewa selepas Menteri Penyelaras Bekalan Vaksin Covid-19, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjelaskan bahawa kerajaan Pulau Pinang mendedahkan derma dua juta dos vaksin Covid-19 oleh syarikat berpangkalan di Hong Kong itu adalah tawaran palsu.

Katanya, siasatan dan carian telah dilakukan pihaknya mendapati syarikat berkenaan, Xintai Development Enterprise LTD tidak wujud.

Malah, semakan yang dilakukan dengan syarikat penyedia vaksin, Sinovac di China juga mendapati pihaknya tidak menerima sebarang permohonan dan bukti penerimaan daripada syarikat berkenaan.

Susulan itu, Kon Yeow dalam satu kenyataan memohon maaf kerana mencetuskan kontroversi tersebut.

Kisah kekecewaan mengenai vaksin belum lagi berakhir. Kali ini berkaitan dengan ciapan yang dibuat seorang pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mempersoalkan tanggungjawab pihak media dalam usaha pemberian vaksin.

Mengecewakan kerana kenyataan itu seolah-olah pihak berkenaan tidak menghargai peranan media terutama petugas di lapangan yang mempertaruhkan keselamatan dan nyawa sepanjang bertugas ketika pandemik Covid-19 melanda negara sejak awal lagi.

Lebih mengecewakan lagi apabila masih ramai petugas media belum diberikan vaksin walaupun terpaksa bertugas di kawasan berisiko dan terdedah kepada ancaman jangkitan virus.

Bukan minta diberi keistimewaan kepada petugas media tetapi pandanglah sama peranan kami yang menjalankan tugas dan berdepan risiko sama dengan petugas barisan hadapan yang lain.

Kami sentiasa ada apabila pihak berkenaan mahu mengadakan sidang media mahupun memberi apa sahaja penerangan serta makluman semasa untuk masyarakat. Bukan setiap hari kami laporkan kisah artis langgar SOP sahaja.

Tetapi setakat ini, apakah perhatian khusus yang diberikan kepada petugas media? Semoga kisah kekecewaan ini segera berakhir dan bersama-sama kita doakan agar Covid-19 segera terhapus di muka bumi ini.