Ambil kira teguran KPPA

No Image Caption
A
A
A

PENJAWAT awam di Malaysia perlu memberi perhatian kepada teguran Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman. Pada Khamis, beliau menegur penjawat awam yang disifatkan oleh orang ramai masih bersikap sambil lewa dan tidak cekap memberikan perkhidmatan.

Mohd Khairul Adib juga mahu penjawat awam membuang ego dan melaksanakan tugas diamanahkan dengan baik tanpa mengharapkan kenaikan pangkat lebih tinggi.

Teguran itu dibuat ketika negara berdepan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang menyaksikan ramai individu dibuang kerja, sebaliknya penjawat awam tidak terjejas dan menerima gaji penuh setiap bulan.

Ketika ini, orang ramai masih tidak berpuas hati dengan tahap perkhidmatan penjawat awam.Sikap sambil lewa yang ditunjukkan penjawat awam mewujudkan rasa marah dalam kalangan rakyat yang memerlukan perkhidmatan pantas dan berkualiti.

Sebenarnya, masalah sikap adalah satu masalah yang telah lama berakar umbi dalam kalangan penjawat awam. Masalah sikap itu seringkali dikaitkan dengan perkara-perkara yang tidak baik seperti tidak mesra, tidak cekap, kurang pengetahuan dan sebagainya.

Lebih buruk lagi apabila penjawat awam di negara ini sering dikaitkan dengan keengganan untuk berubah.

Justeru, dalam ucapan semasa perhimpunan bulanan Jabatan Perkhidmatan Awam secara maya, Mohd Khairul Adib turut menuntut setiap penjawat awam mengamalkan sikap berintegriti dan beramanah dalam menjalankan tugas.

Menurutnya, sikap seumpama itu mampu menangkis persepsi negatif, sekali gus meningkatkan imej penjawat awam.

Artikel Berkaitan:

Apa pun, pemikiran penjawat awam terhadap kerja dan kerjaya perlulah berubah.

Seharusnya, mereka bukan sahaja berusaha memuaskan hati orang lain iaitu orang awam tetapi lebih penting adalah mendapatkan kenikma-tan sendiri daripada tugas yang berjaya dilaksanakan dengan baik.

Apabila perasaan itu berjaya dipupuk, rasa bangga terhadap tugasan akan terbina. Yang pasti, hanya penjawat awam yang bangga dengan tugasnya akan dapat melaksanakan tugasan dalam apa juga keadaan atau persekitaran.