3,468 individu terlibat PKPD Felda Redong 1 di Segamat

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 3,468 individu terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Felda Redong 1 Mukim Labis dekat Segamat yang berkuat kuasa selama dua minggu bermula Khamis.

Pegawai Daerah Segamat, Nasri Md Ali berkata, secara keseluruhan terdapat 825 keluarga serta tiga asrama pekerja asing yang melibatkan 35 individu dalam kawasan PKPD itu.

Beliau berkata, setakat jam 10 pagi Khamis, seramai 657 individu telah disaring melibatkan Kluster Redong 1 dan 98 daripadanya positif Covid-19, manakala 283 negatif dan 276 masih menunggu keputusan.

“Usaha bagi melakukan ujian dan pengesanan kontak masih giat dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah Segamat,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Segamat berkata, pengurusan di dalam kawasan PKPD itu diambil alih pihaknya dan bilik gerakan turut diaktifkan bermula semalam yang berpusat di Dewan Serbaguna, Tenang Stesen.

“Bilik gerakan ini akan bertindak menyelaras pengurusan PKPD dengan diketuai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Segamat,” katanya.

Nasri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengetuai hal berkaitan keselamatan dengan dibantu Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), manakala agihan sumbangan, bantuan dan bekalan makanan pula diselaraskan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Angkatan Pertahanan Awam melalui bilik gerakan itu.

Pada Selasa, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPD di Felda Redong 1 dilakukan selepas kes Covid-19 didapati menular ke seluruh lokaliti dengan kadar kebolehjangkitan masih tinggi. - Bernama

Artikel Berkaitan: