Yakult suntik semangat skuad Harimau Pekak Malaysia

Hamada (dua dari kiri) serah penajaan kepada skuad Harimau Pekak Malaysia. -Foto Yakult Malaysia
Hamada (dua dari kiri) serah penajaan kepada skuad Harimau Pekak Malaysia. -Foto Yakult Malaysia
A
A
A

YAKULT (Malaysia) Sdn Bhd pada Khamis mengumumkan meneruskan kerjasama dengan Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) bagi tempoh setahun lagi bermula Ogos 2021 hingga Ogos 2022.

Ia bukan kali pertama Yakult (Malaysia) menjalinkan kerjasama dengan MSDeaf kerana tahun lalu turut sama membantu dalam persiapan pasukan bola sepak orang pekak Malaysia yang lebih dikenali sebagai 'Skuad Harimau Pekak Malaysia' menjelang penampilan sulung pada Kejohanan Piala Dunia Orang Pekak 2020 di Mapo, Korea Selatan.

Bagaimanapun, kejohanan itu ditunda akibat penularan wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia sejak awal tahun lalu.

Majlis penyerahan penajaan di antara pihak Yakult (Malaysia) yang diwakili oleh Pengarah Urusan, Hiroshi Hamada dan pihak MSDeaf diwakili oleh presidennya, Ong Shin Ruen.

Penajaan yang bernilai RM40,000.00 itu merangkumi wang tunai berjumlah RM30,000.00, minuman probiotik Yakult dan barangan sukan disampaikan di Pejabat Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia di Kuala Lumpur.

Selain itu, Yakult (Malaysia) juga menyampaikan 29 pasang kasut bola sepak yang diterima dari pihak PUMA Jepun menerusi Perjanjian Kerjasama Rakan ASEAN di antara pihak Yakult Malaysia bersama kelab bola sepak Liga Jepun, Cerezo Osaka.

Menerusi perjanjian ini, Yakult (Malaysia) adalah penaja rasmi minuman probiotik kepada MSDeaf.

Menurut Hamada, beliau berharap sokongan berterusan dapat membantu MSDeaf dan juga pasukan Bola Sepak Orang Pekak Malaysia yang dalam persiapan menyertai Pusingan Kelayakan Bola Sepak Temasya Deaflympic yang ke 24 di Caxias do Sul, Brazil pada Mei 2022.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, kami juga berharap suplemen probiotik Yakult dapat memastikan kesihatan atlet berada dalam kondisi yang terbaik.

"Ini kerana, 70 peratus kekebalan badan kita terletak pada usus dan sangat penting untuk memastikan usus kita sentiasa berada dalam keadaan yang optimum," ujarnya.

Skuad Harimau Pekak Malaysia yang dibimbing oleh ketua jurulatih, Manachai Sittisarn kini berada dalam kelompok 24 pasukan terbaik dunia dan menghuni ranking keenam Asia Pasifik serta ranking kedua ASEAN.