Adly nafi wujud amalan nepotisme

Adly merasmikan Majlis Memperingati Tarikh Pengisyhtiharan Kemerdekaan di Ayer Keroh di sini.
Adly merasmikan Majlis Memperingati Tarikh Pengisyhtiharan Kemerdekaan di Ayer Keroh di sini.
A
A
A

MELAKA - Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari menafikan wujudnya amalan nepotisme dalam pelantikan jawatan struktur pentadbiran di negeri ini, sebaliknya setiap pelantikan bersandarkan merit individu.

Beliau turut menjelaskan, setiap pelantikan pegawai dan kakitangan itu adalah berdasarkan syarat dan kriteria ditetapkan termasuk tahap kelayakan akademik serta kemampuan individu tersebut menggalas amanah serta melaksanakan tanggungjawab yang diberikan.

"Adalah tidak wajar apabila isu lantikan individu berkaitan politik dalam perjawatan kerajaan negeri ini dimanipulasi demi kepentingan pihak tertentu sedangkan proses lantikan adalah mengikut prosedur biasa.

"Kita tidak menilai sesuatu pelantikan itu daripada sudut hubungan kekeluargaan. Susahlah juga kalau dah ada seorang dalam kerajaan maka orang lain dari kalangan anggota keluarga tidak boleh menyertai pentadbiran kerajaan negeri," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata kepada media selepas merasmikan Majlis Memperingati Tarikh Pengisyhtiharan Kemerdekaan di Ayer Keroh di sini.

Ketua Menteri diminta mengulas mengenai laporan sebuah portal berita mengenai dakwaan Ketua Pemuda Pas Melaka Ahmad Bilal Rahudin, berkaitan wujudnya monopoli jawatan dalam pentadbiran kerajaan PH di kalangan anggota keluarga tertentu.

Ahmad Bilal turut mempersoalkan lantikan Ketua Wanita Amanah Melaka Mahani Othman Basir sebagai Timbalan Pengerusi Zakat Melaka (ZM) sedangkan suaminya, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab adalah Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (Maim) dan turut memegang jawatan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka.

Malah, isu tersebut turut mengundang kritikan beberapa pengguna di media sosial terutama di Facebook yang memuat naik status tidak puas hati terhadap pelantikan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sementara Adly yang juga Pengerusi Maim tetap mempertahankan perkara itu dengan menjelaskan pelantikan Mahani pada Julai tahun lalu bukan atas hubungan kekeluargaan sebaliknya beliau memenuhi kriteria ditetapkan bagi menggalas tugas tersebut dan lantikan itu langsung tidak melibatkan Mohd Sofi.

"Kita lantik dia berdasarkan merit yang ada iaitu Mahani ada pendidikan ijazah dan sedang lanjut pengajian dalam master, dia mempunyai kemampuan kepimpinan yang baik.

"Cuma daripada segi pembuat dasar itu yang membuat keputusan itu tidak melibatkan ahli keluarga sebagai contoh ZM yang buat keputusan itu adalah saya tidak terlibat ahli keluarga Mahani, jadi saya rasa tak berbangkit isu ini polisi kita jelas," katanya.