X

Kindly register in order to view this article
!

MAFI anjur Webinar Sekuriti Makanan Negara 2021 secara maya

Ahmad merasmikan Webinar Sekuriti Makanan 2021 bertemakan 'Sekuriti Makanan Negara: Merealisasikan Keperluan Rakyat' secara maya pada Khamis.
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengadakan Webinar Sekuriti Makanan Negara 2021 secara maya pada Khamis.

Webinar bertemakan 'Sekuriti Makanan Negara: Merealisasikan Keperluan Rakyat' julung kali diadakan telah membincangkan isu cabaran dan hala tuju sekuriti makanan negara meliputi aspek pemodenan, nutrisi dan sistem makanan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menerusi teks ucaptamanya yang dibacakan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, beberapa aspek yang perlu diutamakan dalam memastikan sekuriti makanan negara terjamin.

Beliau berkata, antaranya ialah keberadaan makanan yang selamat dengan harga berpatutan di pasaran, meningkatkan pengeluaran makanan secara domestik dan mengurangkan kebergantungan kepada import makanan serta guna tenaga asing.

“MAFI telah dan akan meneruskan usaha untuk memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi melalui hala tuju yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) 2021-2025 dan Dasar Agromakanan Negara 2.0, 2021-2030 (DAN 2.0).

“RMK12 akan memberi penekanan kepada inisiatif untuk meningkatkan produktiviti, memperkasa sistem sokongan dan perkhidmatan serta memperkukuh rantaian nilai makanan ke arah meningkatkan daya tahan sistem makanan secara menyeluruh.

"DAN 2.0 pula akan menyokong pelaksanaan agenda Sustainable Development Goals (SDGs) 2030 dan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030, selain menyumbang kepada pencapaian aspirasi Malaysia dalam konteks ekonomi, pengurusan sosial dan kemampanan alam sekitar di bawah sektor agromakanan bagi tempoh sedekad yang akan datang,” katanya dalam teks ucapan tersebut pada Khamis.

Program tersebut turut dihadiri beberapa pembentang terkenal dalam bidang masing-masing termasuk Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff; Penasihat Penasihat Penyelidik, Institut Penyelidikan Khazanah, Profesor Dr Jomo Kwame Sundram dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Berhad, Tan Sri Tony Fernandes.

Sementara itu, Ronald berkata, webinar tersebut mengetengahkan beberapa wakil industri yang berkongsi pengetahuan dan pengalaman mengenai sekuriti makanan daripada perspektif industri.

“Semua cadangan dan input yang diterima melalui webinar ini akan dimanfaatkan oleh kerajaan untuk menambah baik cadangan pelan tindakan dasar sekuriti makanan negara.

“Ia turut dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC) yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam masa terdekat,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!