Selangor disaran anjur program vaksinasi besar-besaran

Najwan
Najwan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor disaran mengadakan program vaksinasi secara besar-besaran untuk mempercepatkan kadar penerimaan vaksin dalam kalangan rakyatnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi berkata, pihaknya pernah mengutarakan cadangan tersebut kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk tujuan tersebut.

Menurut beliau, program tersebut wajar difikirkan untuk menggalakkan pemberian vaksin kepada rakyat Selangor memandangkan ujian saringan Covid-19 turut diadakan pada skala yang sama.

“Sambutan yang diterima berkenaan ujian saringan ini agak baik kerana Selangor adalah satu-satunya negeri yang menjalankan ujian percuma ini secara besar-besaran.

“Walaupun ada yang mengkritik kononnya kita tidak berbuat apa-apa, tapi melalui saringan beginilah kita dapat mengenalpasti individu yang dijangkiti Covid-19.

“Kalau kita boleh buat program ujian saringan Covid-19 secara besar-besaran, mengapa tidak boleh buat perkara sama untuk program vaksinasi juga,” katanya kepada media ketika ditemui semasa turun padang meninjau ujian saringan Covid-19 di Dewan Jenjarum Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 11 di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Najwan berkata, kerajaan juga wajar mengambil iktibar daripada ralat dan masalah teknikal yang berlaku ketika tempahan slot vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca dibuka pada Rabu.

Beliau berkata, usaha pihak kerajaan berkempen supaya rakyat mendaftarkan diri bagi mendapatkan vaksin Covid-19 adalah sia-sia jika masalah teknikal seperti yang berlaku tidak diperbaiki.

Artikel Berkaitan:

“Mungkin terdapat isu-isu teknikal yang perlu diperbaiki kerana saya difahamkan kos untuk membangunkan laman sesawang itu menelan jutaan ringgit.

“Bila kita nak buat program sebegini nanti, perlu ambil kira pelbagai aspek supaya ia tidak dilakukan sambil lewa dan akhirnya menyusahkan rakyat,” katanya.

Pada Rabu, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) memohon maaf di atas kesulitan dihadapi orang ramai ketika membuat percubaan tempahan slot janji temu vaksin AstraZeneca secara sukarela bagi pusingan kedua.

CITF dalam satu kenyataan memaklumkan gangguan teknikal yang berlaku itu menyebabkan pengguna menghadapi kesukaran mengakses beberapa butang ciri laman sesawang CITF.