Kerajaan salur RM66 juta pinjaman kepada PKS, MTC

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM66 juta kepada 13,865 perusahaan kecil sederhana (PKS) dan syarikat di peringkat pertengahan (MTC) dalam bentuk geran dan pinjaman untuk langganan perkhidmatan digitalisasi setakat 14 Mei 2021.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bagi pembiayaan mikro kredit Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) di bawah Bank Simpanan Nasional, sejumlah RM421.2 juta telah disalurkan bagi memanfaatkan 12,666 PKS mikro termasuk bidang dalam peruncitan dan perkhidmatan bagi tempoh yang sama.

Beliau berkata demikian dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) Ke-54, yang dikeluarkan pada Khamis.

Menurut Tengku Zafrul, di bawah inisiatif Kelapan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) iaitu Merangsang Semula Sektor Pelancongan dan Peruncitan, kerajaan bersetuju menyalurkan Geran Bantuan Khas secara one-off (sekali) sebanyak RM3,000 kepada lebih 5,000 agensi pelancongan yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

“Setakat 16 April, sebanyak RM2.574 juta telah disalurkan kepada 858 syarikat pengendali pelancong.

“Kerajaan juga bersetuju untuk menyediakan bantuan tunai secara one-off (sekali) sebanyak RM600 kepada pengusaha homestay (inap desa) yang didaftar dengan MOTAC,” katanya.

Beliau berkata, bantuan tersebut dijangka dapat memanfaatkan lebih 4,000 tuan rumah atau pengusaha Program Pengalaman Homestay.

“Sehingga 15 April, sebanyak RM183,600 telah disalurkan kepada 728 homestay di Perlis, Selangor dan Terengganu bagi pembayaran Fasa 1.

Artikel Berkaitan:

“MOTAC ketika ini sedang dalam usaha untuk memuktamadkan senarai penerima bantuan ini kepada pengusaha Program Pengalaman Homestay Malaysia yang berdaftar dengan kementerian,” tambahnya.

Sementara itu, antara inisiatif lain kerajaan termasuklah elaun khas barisan hadapan dan setakat 14 Mei, sebanyak RM719.51 juta telah disalurkan berdasarkan 2,011,032 tuntutan kepada doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan dan pembendungan pandemik Covid-19.

Tengku Zafrul berkata, elaun khas ini juga dipanjangkan kepada anggota tentera, polis, kastam, imigresen, bomba, anggota Angkatan Pertahanan Awam serta anggota RELA yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagi sokongan kepada industri pertanian dan makanan, pembiayaan bernilai RM400 juta telah diperuntukkan bagi golongan petani, peladang dan nelayan.

“Di bawah skim ini, RM350 juta merupakan peruntukan di bawah Skim Pembiayaan Mikrokredit Agrobank, dan setakat 14 Mei, sebanyak RM151.02 juta telah disalurkan di bawah skim ini bagi memanfaatkan 12,644 PKS Mikro pertanian.

“Jaminan makanan (food security) amat dititikberatkan dalam Pelan Penjana dan juga Belanjawan 2021,” katanya. - Bernama