Suri rumah kecewa 15 kali permohonan pinjaman ditolak

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin (belakang tengah) dan Pengerusi EdgeProp.my Datuk Tong Kooi Ong (belakang tiga, kiri) bergambar bersama para penerima FundMyHome-Skim Depositku selepas merasmikan dana pemilikan rumah tersebut hari ini. - Foto Bernama
A
A

SEMENYIH - Luahan seorang suri rumah yang menerjah sidang media pelancaran Skim FundMyHome-DepositKu hari ini mendapat perhatian Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Hafiza Abdul Rahman, 34, semasa meluahkan kesedihannya berkata, beliau sudah 15 kali memohon bagi mendapatkan pinjaman perumahan sejak 10 tahun lepas, namun tidak pernah mendapat kelulusan.

Selepas sidang media, ibu kepada empat orang anak itu dilihat sekali lagi bertemu dan meluahkan kesedihannya kepada Zuraida serta beberapa kali memeluk menteri itu sambil mengalirkan air mata.

“Antara alasan yang diberikan oleh pihak bank adalah kami tidak pernah membuat sebarang pinjaman. Rumah yang kami hendak beli bawah harga RM100,000 dan kami boleh membayar deposit hingga RM20,000.

“Apa salah saya dan suami. Kami hanyalah rakyat biasa yang ingin mempunyai rumah sendiri. Tetapi selama ini kami hanya mampu menyewa,” katanya ketika ditemui pemberita.

Sehubungan itu Hafiza merasakan hak mereka sekeluarga yang merupakan golongan B40 dengan pendapatan suaminya hanya RM3,000 sebulan dinafikan.

Beliau juga menyatakan penghargaannya kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memperkenalkan FundMyHome dan skim FundMyHome-DepositKu yang mana beliau akan memohon skim itu dalam masa terdekat.

Terdahulu Zuraida berkata, skim FundMyHome-DepositKu merupakan penyelesaian kepada pembeli yang telah mendaftar di bawah skim FundMyHome yang tidak mampu menyediakan bayaran 20 peratus daripada harga rumah.

“Di bawah skim FundMyHome, pembeli yang berpendapatan rendah dan tidak layak mendapat pinjaman perumahan tradisional daripada bank, hanya perlu membayar 20 peratus dari harga rumah dan tidak perlu membayar apa-apa selama lima tahun.

“Skim FundMyHome-DepositKu pula membolehkan pembeli mendapatkan pinjaman sehingga RM30,000 untuk membayar bayaran 20 peratus itu. Pinjaman berkenaan akan dibayar balik sepenuhnya pada akhir tahun kelima menduduki rumah,” katanya.

Jelasnya sepanjang tempoh lima tahun tanpa bayaran semula itu, pembeli dapat menabung sekaligus mengukuhkan kewangan mereka.

Pada majlis hari ini Zuraida turut menyerahkan replika kunci kepada 19 pembeli rumah di bawah skim FundMyHome di Semenyih.

Lebih 350 unit rumah di Pangsapuri Harmoni di sini dibina menerusi skim FundMyHome.

Skim FundMyHome dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada November tahun lalu bagi membantu pembeli rumah kali pertama. - Bernama