Mukim Sitiawan belum lagi PKPD

Nor Omar (dua dari kiri) meninjau pematuhan SOP PKP di Manjung.
Nor Omar (dua dari kiri) meninjau pematuhan SOP PKP di Manjung.
A
A
A

LUMUT - Dakwaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Mukim Sitiawan yang tular di media sosial pada Khamis adalah palsu.

Perkara itu timbul selepas tular mesej mengenai penutupan jalan di beberapa lokasi serta sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Dato Seri Kamaruddin, Kilometer 8 Jalan Lumut-Sitiawan dan Jalan Pasir Panjang Laut, Kampung Koh.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, tiada sebarang sekatan jalan raya, pemasangan halangan dan penutupan jalan dilaksanakan sekitar mukim tersebut setakat ini.

"Kita tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan setakat ini status (Perintah Kawalan Pergerakan) di Sitiawan masih sama. Polis hanya akan membuat tindakan selepas mendapat arahan daripada kerajaan.

“Setakat ini, sekatan jalan raya di Manjung hanya ada empat saja iaitu di setiap sempadan daerah untuk menyekat pergerakan merentas daerah dan negeri,” katanya ketika ditemui pemberita ketika pemeriksaan prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0 di sebuah pasar raya di sini.

Pemeriksaan berkenaan turut disertai anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang di Ketuai Wan Muhammad Badro Wan Mahmood.

Menurutnya, semua pihak dinasihatkan merujuk kepada pengumuman yang dibuat kerajaan serta mendapatkan kesahihan maklumat daripada pihak berkuasa.

“Jangan menularkan maklumat yang tidak sahih sehingga menimbulkan kebimbangan kepada masyarakat setempat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Nor Omar berkata, sikap sambil lewa masyarakat dalam pemakaian pelitup muka menjadi antara kesalahan tertinggi yang direkodkan dalam pemeriksaan pematuhan SOP.

"75 peratus daripada keseluruhan kompaun adalah kesalahan tidak memakai pelitup muka dan tidak memakainya dengan sempurna diikuti kesalahan tiada penjarakan sosial serta kegagalan premis mematuhi SOP.

"Semua pihak perlu memain peranan untuk melandaikan lekuk Covid-19 apatah lagi ketika ini kadar jangkitan di negeri ini adalah tinggi,” katanya.

Jelasnya, sebanyak 1,594 kompaun dikeluarkan sejak Mac tahun lalu hingga Rabu dengan tahap kepatuhan sebanyak 85 peratus.