X

Kindly register in order to view this article
!

Pengawasan terhadap PUS dipertingkatkan

Penyelaras Stesen Kuarantin Kelantan, Kapten (PA) Muhammad Shafie Rosslee (tengah) bercakap dalam jarak jauh dengan PUS yang ditempatkan di tingkat satu bangunan di QS Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Pengkalan Chepa, Kota Bharu.
A
A

KOTA BHARU - Pengawasan dan pemantauan terhadap hampir 500 Individu Bawah Pengawasan (PUS) Covid-19 di enam Stesen Kuarantin (QS) di seluruh Kelantan telah dipertingkatkan susulan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan Covid-19 apabila ada dalam kalangan mereka cuba melarikan diri selain membawa masuk dadah.

Penyelaras Stesen Kuarantin Kelantan, Kapten (PA) Muhammad Shafie Rosslee berkata, walaupun blok penempatan PUS wanita dan lelaki diletakkan secara berasingan dan turut dipasangkan pagar besi namun masih ada yang cuba meloloskan diri.

“Kejadian cuba meloloskan diri dan membawa masuk dadah melibatkan PUS dalam kalangan bekas banduan di kuaters QS Pengkalan Chepa yang ditempatkan secara berasingan daripada blok awam. Malah kes seumpama ini juga ada yang melibatkan orang awam.

“Pelaku bagaimanapun berjaya ditahan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di QS Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Pengkalan Chepa, di sini, pada Rabu.

Beliau berkata, setakat ini perlakuan ingkar SOP dan selainnya di QS membabitkan kesalahan gagal memakai pelitup muka, keluar dari bilik kuarantin dan berkumpul secara beramai-ramai.

“Selain itu ada juga dalam kalangan PUS yang cuba bawa masuk dadah seperti syabu dan air ketum dengan cara membungkusnya dalam pakaian dibawa dari luar.

“PUS terdiri daripada pelbagai latar belakang berusia dua hingga 92 tahun. Mereka terpisah daripada keluarga antara 10 hari hingga ke sebulan,” katanya.

Menurutnya, paling menyedihkan apabila melihat kanak-kanak bawah umur terpisah daripada ibu bapa mereka kerana dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) akibat disahkan positif Covid-19.

“QS ini bermula Mac tahun lalu mendahului 15 PKRC di negeri ini dengan PUS pertama adalah jemaah tabligh daripada kluster pertama negara, Kluster Masjid Sri Petaling.

“Sementara itu petugas di sini terdiri daripada pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela) dan Polis Diraja Malaysia (PRRM),” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!