Tidak pakai pelitup muka: Tajuddin tiba di IPD Dang Wangi

Tajuddin hadir ke IPD Dang Wangi untuk beri keterangan berhubung pelanggaran SOP dengan tidak memakai pelitup muka dalam sidang media berkaitan kemalangan tren LRT baru-baru ini.
Tajuddin hadir ke IPD Dang Wangi untuk beri keterangan berhubung pelanggaran SOP dengan tidak memakai pelitup muka dalam sidang media berkaitan kemalangan tren LRT baru-baru ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bekas Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi memberi keterangan berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini pada Khamis.

Tajuddin yang menaiki kereta jenis Mercedes bewarna perak tiba kira-kira jam 4.45 petang itu hadir bagi siasatan pelanggaran SOP kerana tidak memakai pelitup muka dalam sidang media berkaitan kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT), baru-baru ini.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu dilihat keluar daripada pekarangan IPD Dang Wangi kira-kira jam 5.45 petang.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya telah selesai merekod keterangan Tajuddin.

"Ada lima keterangan telah diambil membabitkan kes ini iaitu satu daripada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Ahli Parlimen Muar), tiga kakitangan Prasarana serta satu daripada Tajuddin," katanya.

Pada Rabu, media melaporkan polis menjalankan siasatan terhadap Tajuddin susulan video yang tular di media sosial menunjukkan Tajuddin tidak memakai pelitup muka.

Pada sidang media itu, Tajuddin dilihat hanya memakai pelindung muka tanpa memakai pelitup muka.

Susulan itu, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Artikel Berkaitan: