Bauksit: KKM jamin sentiasa pantau kesihatan penduduk

Dzulkefly Ahmad
Dzulkefly Ahmad
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa memantau tahap kesihatan penduduk di sekitar kawasan pelombongan bauksit di Kuantan, Pahang berdasarkan laporan kesihatan yang diperolehi dari fasiliti kesihatan kawasan itu, kata Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

"Kita memantau melalui statistik kes seperti jangkitan respiratori di klinik-klinik, sebagai contoh adakah terdapat peningkatan ketara untuk masalah tersebut, selain pihak berkuasa akan memantau kualiti air dan buah-buahan segar untuk (kewujudan) logam berat," katanya pada sidang media di kementeriannya di sini hari ini.

"Kita mahu pastikan rakyat tidak menderita akibat dari aktiviti perlombongan bauksit," katanya, sambil memaklumkan isu kesihatan melibatkan perlombongan bauksit turut disentuh dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

Pada 18 Februari, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar mengumumkan tempoh moratorium untuk aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit tidak akan dilanjutkan dan dibenarkan beroperasi semula mulai 1 April ini.

Berikutan itu, satu prosedur operasi standard (SOP) baharu dan penguatkuasaan undang-undang lebih ketat akan dilaksanakan untuk mengelak pencemaran seperti sebelum ini dan mereka yang ingkar boleh didenda RM500,000 dan tiga bulan penjara mengikut Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001.

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly menafikan dakwaan pihak farmasi tidak dilibatkan dalam perancangan pelaksanaan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40).

"Kita telah berhubung, berbincang dan mengadakan town hall dengan pihak berkaitan dan kita masih ada masa untuk berhubung lebih lanjut mengenai pelaksanaan PeKa B40 termasuk membabitkan peranan farmasi, pengamal perubatan am. Kita mahu ia didukungi oleh semua penyedia perkhidmatan kesihatan di negara ini," katanya.

Beliau berkata PeKa B40 akan dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada April nanti.

Artikel Berkaitan:

Ditanya sama ada KKM akan mengenakan tindakan terhadap Hospital Pantai Sungai Petani yang menyiarkan iklan tawaran biasiswa yang didakwa bersifat perkauman walaupun sudah membuat permohonan maaf, Dzulkefly berkata beliau berharap isu itu tidak berulang di masa hadapan. - Bernama