Lelaki parah ditetak rakan

Kapak yang dirampas dipercayai digunakan untuk menetak mangsa dalam kejadian di Kampung Buit Hill, Putatan. Gambar kecil: Mohd Haris
Kapak yang dirampas dipercayai digunakan untuk menetak mangsa dalam kejadian di Kampung Buit Hill, Putatan. Gambar kecil: Mohd Haris
A
A
A

PENAMPANG - Hanya kerana salah faham, seorang lelaki parah selepas ditetak menggunakan kapak oleh rakannya dalam kejadian di Kampung Buit Hill, Putatan pada Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, mangsa yang berusia 31 tahun bersama suspek berusia 29 tahun dipercayai dalam keadaan mabuk.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, sepasukan anggota dan pegawai polis dikerah ke lokasi kejadian selepas menerima laporan kejadian itu.

"Siasatan awal mendapati mangsa cedera akibat kesan tetakan di tapak tangan kiri dan bahagian belakang badan.

"Mangsa yang berlumuran darah diberikan rawatan kecemasan sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Mohd Haris berkata, pihaknya berjaya menahan suspek di sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan.

"Motif kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham antara kedua-dua mereka ketika mabuk selepas minum minuman keras.

"Turut dirampas sebilah kapak yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.