Ahmad Zahid tiada halangan lanjut kontrak UKSB lebih awal: Saksi

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM – Bekas Timbalan Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Imigresen, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiada halangan berhubung lanjutan kontrak Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) walaupun kontrak masih berbaki tiga tahun lagi.

Ketika membaca pernyataan saksi, bagi kes rasuah membabitkan Ahmad Zahid atas 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN), Siti Jalilah Abd Manap berkata, untuk rekod, kerajaan memeterai perjanjian bersama UKSB untuk melaksanakan sistem VLN pada 28 Februari 2014.

Saksi ketiga pendakwaan itu berkata, tempoh kontrak berkenaan adalah selama enam tahun, bermula dari 1 November 2013 sehingga 31 Oktober 2019.

”Bagaimanapun pada 27 Oktober 2016, saya menerima surat iringan daripada pejabat Menteri Dalam Negeri yang dilampirkan bersama surat UKSB kepada Ahmad Zahid berkenaan permohonan kelulusan untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan VLN dan e-VISA untuk tempoh enam tahun.

“Adalah jelas pihak UKSB memohon agar perjanjian VLN dilanjutkan sehingga enam tahun iaitu dari 31 Oktober 2019 sehingga akhir tahun 2025,” katanya

Sedangkan Siti Jalilah, 49, berkata, pihak UKSB telah memohon perlanjutan kontrak terlalu awal iaitu sekitar tiga tahun sebelum tarikh kontrak asal tamat.

Mengulas lanjut, pada 17 Februari 2017 pula, beliau berkata, ada menerima surat iringan daripada pejabat TPM yang dilampirkan bersama surat dari UKSB kepada Ahmad Zahid.

Ia katanya, berkenaan lanjutan tempoh pelaksanaan VLN dan e-VISA bagi tempoh enam tahun bermula 31 Oktober 2019 sehingga tahun 2025, adalah sejajar dengan pembangunan dan pelaksanaan Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN).

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, surat UKSB itu diminitkan oleh Ahmad Zahid seperti berikut: ‘Dato’ Sri KSU, oleh kerana KDN telah berpuas hati dengan khidmat syarikat ini, sila lanjutkan pelaksanaan kontrak VLN & e-VISA untuk tempoh enam tahun sehingga 2025’.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, Siti Jalilah berkata, surat berkenaan adalah tidak selaras dengan tatacara.

Wan Shaharuddin: Berdasarkan surat-surat ini, adakah surat UKSB dan keputusan Ahmad Zahid melanggar tatacara?

Siti Jalilah: Ya, saya katakan keputusan yang dibuat adalah tak selaras.

Wan Shaharuddin: Kenapa ia melanggar tatacara?

Siti Jalilah: Ia kerana arahan tatacara bagi kontrak perlu dibawa ke Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan kabinet, untuk data dan kelulusan Jemaah Menteri.

Wan Shaharuddin: Kenapa perlu ke UKAS?

Siti Jalilah: Ia melibatkan mengambilan sumber kewangan awam kerana projek itu lebih RM25 juta.

Wan Shaharuddin: Puan ada beritahu, kontrak lambat lagi, maka ada keperluankah ia disegerakan?

Siti Jalilah: Jika tempoh belum habis maka tiada keperluan.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada Syarikat UKSB sebagai dorongan untuk dirinya, sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di KDN, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai Menteri Dalam Negeri telah mendapatkan untuk dirinya suatu benda berharga iaitu wang tunai SG$1.15 juta, RM3.125 juta, AS$15,000 dan EURO€15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa disambung Selasa depan.