'Awang Kota Aur' berjaya dipindahkan

Awang Kota Aur berjaya dipindahkan ke Hutan Belum, Perak kira-kira 1 pagi pada Khamis. - Foto APM Sik
Awang Kota Aur berjaya dipindahkan ke Hutan Belum, Perak kira-kira 1 pagi pada Khamis. - Foto APM Sik
A
A
A

SIK - Seekor gajah liar yang dikenali sebagai 'Awang Kota Aur' seberat tiga tan yang berkeliaran dan merosakkan tanaman penduduk berjaya dipindahkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), pada Rabu.

Ketua Perhilitan Daerah Sik, Zulkifli Othman berkata, gajah berusia kira-kira 60 tahun itu dilaporkan sering dilihat di Kampung Kota Aur bagi mencari makanan terutama pada waktu malam.

Menurut beliau, pemantauan yang dijalankan di lokasi terbabit mendapati Awang Kota Aur kerap berada di belakang rumah seorang penduduk sehingga menimbulkan ketakutan.

"Hasil aduan penduduk, kita mula membuat pemantauan sejak seminggu lalu dan mendapati ia kerap berkeliaran di kawasan ini.

"Awang pernah dilihat tumbangkan pokok kelapa dan makan umbut, menyebabkan kita ambil keputusan untuk pindahkan Awang ke Hutan Belum, Perak selepas mengadakan perbincangan bersama Pengarah Perhilitan Kedah, Jamalun Nasir Ibrahim,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Zulkifli berkata, pihaknya meminta kerjasama Perhilitan daerah Baling untuk melakukan tembakan pelali ke atas gajah itu pada Isnin lalu sebelum menambatnya pada sebatang pokok di kawasan belukar belakang kampung berkenaan.

Katanya, perpindahan Awang Kota Aur menggunakan kaedah denak milik Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah, Lanchang, Pahang iaitu dua ekor gajah denak yang dikenali sebagai Alang (jantan) dan Apeh (betina) bagi memujuk Awang naik ke lori pemindahan.

Artikel Berkaitan:

Awang Kota Aur berjaya dipindahkan ke Hutan Belum, Perak. - Foto Perhilitan
Awang Kota Aur berjaya dipindahkan ke Hutan Belum, Perak. - Foto Perhilitan

“Selepas pasukan itu tiba, kita memulakan operasi pindah gajah pada jam 3 petang dan tamat jam 6 petang untuk dibawa ke Hutan Belum," katanya.

Katanya, operasi berjaya dilakukan sehingga tiba ke lokasi perpindahan kira-kira jam 1 pagi, Khamis.

“Kami pastikan 'Awang Kota Aur' selamat masuk ke hutan sebelum bergerak pulang. Alhamdulillah tiada yang cedera dalam operasi ini.

"Terima kasih kepada semua yang terlibat termasuk anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman serta Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang turut menaja makanan dan penginapan anggota terlibat,” katanya.

Menurut Zulkifli, Awang Kota Aur berkemungkinan gajah yang dilahirkan dan membesar di Hutan Simpan Chebar, Ulu Muda iaitu kawasan hutan di belakang kampung berkenaan.

“Dulu kampung ini juga merupakan kawasan hutan, jadi Awang sudah biasa mencari makan di sini, lagi pun gajah turut mempunyai ‘konflik’ kawasan antara kawanan gajah yang lain, jadi Awang mungkin terus pilih tinggal di sini, ditambah pula kampung ini mempunyai banyak sumber makanan.

"Seolah-olah Awang balik ke kampung asal, ini pula kita panggil konflik antara haiwan dan manusia, manusia perlu membuka penempatan, ladang, bercucuk tanam dan sebagainya untuk kelangsungan hidup," katanya.

Sementara itu, Ahmad Tarmizi berkata, masalah gajah mengganggu penduduk telah dialami sejak beberapa tahun lalu sehingga merosakkan dan makan hasil tanaman penduduk.

"Kita difahamkan ada beberapa ekor lagi gajah yang didapati berkeliaran dan meminta agar penduduk berhati-hati serta melaporkan kepada Perhilitan sekiranya terancam," katanya.