X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

KWP sasar 2 juta penduduk terima suntikan vaksin

Annuar Musa
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menyasarkan seramai 2 juta penduduk khususnya di Kuala Lumpur akan menerima suntikan vaksin Covid-19 menjelang Oktober nanti.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, langkah itu adalah bagi membolehkan imuniti kelompok dapat dicapai lebih awal bagi melindungi warga kota daripada serangan virus berkenaan.

Annuar berkata, pelbagai usaha sedang dilaksanakan buat masa ini oleh KWP antaranya melalui penyediaan Trak Vaksin Bergerak [email protected] dengan penglibatan beberapa klinik swasta.

"Langkah ini adalah alternatif lain kepada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sedia ada malah buat masa ini, tujuh trak vaksin bergerak bersama tujuh klinik swasta akan terlibat dalam program vaksinasi percuma dengan purata 4,000 sehingga 5,000 dos suntikan sehari," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan Program Vaksinasi Untuk Golongan Gelandangan di Pusat Transit Gelandangan Anjung Kelana, Taman Desa pada Khamis.

Annuar pada Selasa mengumumkan mengenai Inisiatif Wilayah Cakna (IWC) 5.0 meliputi bantuan Saringan Komuniti Bersasar Covid-19, Trak Vaksin Bergerak [email protected], Program Vaksinasi Gelandangan, Kelas Digital SPM Mahir Tutor, Wilayah Bebas Niaga dan beberapa lagi.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, pihaknya juga sudah mendapatkan persetujuan daripada Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba bagi melaksanakan inisiatif tersebut.

"Program vaksinasi di klinik swasta akan dimulakan selepas ini di mana 29 daripada 60 permohonan secara keseluruhan telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Dalam pada itu, Annuar berkata, KWP juga akan menjalankan ujian saringan Covid-19 buat penduduk di Wilayah Persekutuan secara percuma bagi membantu mengesan penularan wabak Covid-19.

Tambah beliau, pusat saringan percuma itu dijangka mula beroperasi dalam tempoh dua ke tiga minggu lagi dan penyusunan serta penjadualan sedang dilakukan buat masa ini.

"Saya juga sedang mendapatkan sukarelawan yang akan dilatih bagi menggunakan kit tersebut sebelum program ini bermula," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!