870 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 selepas terima vaksin

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Seramai 870 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 selepas menerima suntikan vaksin dos pertama dan kedua.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba bagaimanapun berkata, petugas kesihatan berkenaan tidak mengalami gejala yang teruk.

"Mereka datang (untuk saringan) apabila bersimptom, namun tidak teruk berbanding individu yang tidak menerima suntikan vaksin," katanya dalam sidang akhbar secara maya pada Khamis.

Menurut beliau, terdapat tiga negeri tertinggi yang melaporkan kes jangkitan melibatkan petugas kesihatan iaitu Selangor, Kelantan dan Kedah.

"Keseluruhan petugas kesihatan yang dijangkiti adalah 1,369 orang termasuk mereka yang belum menerima vaksin," katanya. Beliau berkata demikian mengulas mengenai jangkitan terhadap barisan hadapan yang telah mendapatkan vaksin.

Sidang akhbar yang diadakan secara maya itu turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Mohd Shafiq Abdullah.

Pada perkembangan sama, Dr Adham berkata, bilangan katil yang dikhususkan untuk Covid-19 meliputi 16 hospital bawah rangkaian IHH Healthcare di seluruh negara telah dipertingkatkan kepada 251 katil berbanding 196 sebelum ini.

"Katil Unit Rawatan Rapi (ICU) juga dipertingkatkan sebanyak 27 menjadikannya 44 katil," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sehingga kini terdapat 110 buah hospital swasta bersetuju memberikan rawatan kepada pesakit Covid-19 dengan menyediakan 1,173 katil wad dan 119 katil ICU. "Ia khusus bagi rawatan pesakit Covid-19 meliputi kategori satu hingga lima," katanya.