Siti Nurhaliza, suami dikompaun RM10,000 seorang

Siti Nurhaliza (kanan) bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa bersama antara tetamu yang hadir pada majlis tahnik anaknya baru- baru ini.
Siti Nurhaliza (kanan) bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa bersama antara tetamu yang hadir pada majlis tahnik anaknya baru- baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Penyanyi tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa masing-masing dikenakan kompaun RM10,000 berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika majlis tahnik anak keduanya, baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan penceramah Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Don Daniyal dan Ustaz Iqbal turut dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 setiap seorang.

"Tiga anak Khalid turut dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 setiap seorang," katanya pada sidang media melalui Google Meet pada Khamis.

Pada 3 Mei, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak dilaporkan berkata, siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima satu laporan mengenai majlis itu.

Kes disiasat mengikut Peraturan 19 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Sebelum ini, tular di media sosial beberapa gambar berkaitan gambar majlis tahnik bersama majlis akikah yang diadakan penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza di kediaman mereka di Bukit Antarabangsa Ampang, Selangor pada 26 April lalu selepas melahirkan anak keduanya, Muhammad Afwa.

Terdapat segelintir netizen tidak berpuas hati dan mempersoalkan kehadiran menteri dan penceramah yang dikatakan merentas negeri semata-mata untuk menghadiri majlis berkenaan selain mendakwa penyanyi tersohor itu tidak sensitif dengan situasi semasa pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan: