Eina Azman, suami terima suntikan sebagai golongan berisiko tinggi

Perkongsian Eina Azman bersama placard 'saya sudah divaksin' pada Selasa telah menjadi tular di media sosial dan mengundang kecaman apabila dia didakwa memotong barisan. Gambar kenan: Kenyataan media Pengarah HRPB, Dr Abdul Malek Osman.
Perkongsian Eina Azman bersama placard 'saya sudah divaksin' pada Selasa telah menjadi tular di media sosial dan mengundang kecaman apabila dia didakwa memotong barisan. Gambar kenan: Kenyataan media Pengarah HRPB, Dr Abdul Malek Osman.
A
A
A

IPOH - Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini mengesahkan selebriti Datin Paduka Eina Azman dan suaminya Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Abdullah menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) hospital itu.

Pengarah HRPB, Dr Abdul Malek Osman berkata, pasangan berkenaan menerima suntikan vaksin Covid-19 pada 25 Mei lalu atas nasihat doktor pakar yang merawat mereka kerana pesakit dikategorikan sebagai golongan berisiko tinggi.

Menurutnya, PPV hospital berkenaan menerima rujukan pesakit atau pelanggan daripada pelbagai fasiliti kesihatan termasuk luar Perak dan semua pesakit telah menjalani pemeriksaan awal iaitu 'Pre Vaccination Assesment (PVA)' yang hanya boleh didapati di klinik-klinik pakar perubatan hospital.

"PPV HRPB hanya memberikan suntikan vaksin kepada pesakit atau pelanggan yang telah dirujuk dan tidak melakukan PVA tersebut di fasiliti PPV hospital ini.

"Pemberian suntikan vaksin untuk fasa kedua telah diberikan keutamaan kepada golongan berusia 60 tahun ke atas dan setiap individu mempunyai komorbiditi serta golongan yang berisiko tinggi.

"Berdasarkan semakan, kelayakan pemberian suntikan vaksin kepada pasangan tersebut adalah berdasarkan kepada rujukan oleh doktor pakar yang telah merawat pasangan ini atas masalah kesihatan dan komorbid yang dihadapi oleh mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum isu tular di beberapa laman media sosial berkaitan seorang artis wanita yang dikenali sebagai Eina Azman bersama pasangannya didakwa telah memotong barisan dan mengambil vaksin Covid-19 di Ipoh.

Bagaimanapun katanya, dalam hal itu tiada isu potong barisan dalam pemberian suntikan vaksin berkenaan dan pasangan terbabit telah dimasukkan ke dalam senarai penerima vaksin atas nasihat doktor pakar yang merawat kerana pesakit dikategorikan sebagai golongan yang berisiko tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Selari dengan hasrat kerajaan untuk memberikan perlindungan kepada rakyat ketika negara berdepan dengan penularan wabak Covid-19, orang ramai terutama golongan berisiko tinggi digalakkan untuk membuat pendaftaran penerimaan suntikan vaksin melalui aplikasi MySejahtera atau melayari laman web https://www.vaksincovid.gov.my," katanya.

Perkongsian Eina atau nama sebenarnya Ainur Syakina Azman, 26, bersama placard 'saya sudah divaksin' pada Selasa telah menjadi tular di media sosial.

Ia seterusnya mengundang kecaman apabila warganet mendakwa dia memotong giliran pengambilan vaksin sekali gus melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang berkuatkuasa dari 25 Mei hingga 7 Jun ini.