Guru sekolah didakwa terima deposit haram

Tertuduh (dua dari kiri) dibawa anggota polis ketika hadir di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Khamis.
Tertuduh (dua dari kiri) dibawa anggota polis ketika hadir di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang guru sekolah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas 12 pertuduhan menerima deposit haram berjumlah RM284,200 kira-kira tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Hairul Nizam Wahab, 39, yang mengajar mata pelajaran Sains di sekolah membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menerima deposit daripada orang awam tanpa suatu lesen yang sah mengikut Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah sekolah dan premis di Pasir Gudang antara Mei dan November 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137(2) akta sama yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda RM50 juta, atau kedua-duanya.

Sebaik pengakuan tidak bersalahnya direkodkan, mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 20 Jun depan dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM48,000.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Chai Ing Hien, manakala tertuduh diwakili peguam Fahmi Adilah.

Mengikut fakta kes, pada 4 Februari tahun lalu, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini menerima 12 laporan daripada 12 guru yang didakwa ditipu rakan sekerjanya berkaitan skim pelaburan emas.

Artikel Berkaitan: