X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 27 November 2021

Polis rampas dadah RM7.62 juta, dalang sindiket diberkas

Arjunaidi menunjukkan dadah yang dirampas di Ampang Jaya dan Petaling Jaya pada Jumaat.
A
A

SHAH ALAM - Polis Selangor menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah apabila berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM7.62 juta, menerusi dua serbuan berasingan di Ampang Jaya dan Petaling Jaya pada Jumaat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, seorang lelaki berusia 27 tahun, yang merupakan dalang sindiket itu ditahan pada jam 3 petang.

"Sepasukan anggota polis menahan suspek yang berada di dalam kereta jenis Mazda 6 berwarna coklat, di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Ampang.

"Hasil pemeriksaan, kita menjumpai bungkusan berisi pil ekstasi seberat 7.32 kilogram (kg) dan ketamin seberat 2 kg di dalam kenderaan itu," katanya pada sidang akhbar melalui Google Meet pada Khamis.

Arjunaidi berkata, hasil semakan mendapati, suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah.

"Suspek kemudian membawa polis ke sebuah rumah teres dua tingkat di Petaling Jaya pada kira-kira jam 4.15 petang hari yang sama.

"Kita merampas syabu (30 kg), ketamin (25 kg), pil ekstasi (72 kg) dan pil erimin 5 (3.5 kg)," katanya.

Beliau berkata, sindiket itu telah beroperasi sejak lima hingga enam bulan lalu.

"Kita percaya sindiket itu menggunakan taktik 'sistem drop-off' untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa, sebab itulah suspek ditahan di tempat letak kereta.

"Suspek akan meninggalkan kenderaan di tempat letak kereta supaya rakan lain mengambil dadah tersebut," katanya.

Menurutnya, polis akan menyiasat lebih lanjut untuk mengesan anggota sindiket lain.

"Suspek telah direman tujuh hari bermula Sabtu lalu hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!