Penganggur berdepan hukuman mati bunuh bekas abang ipar

Tertuduh ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Jasin pada khamis.
Tertuduh ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Jasin pada khamis.
A
A
A

JASIN - Seorang penganggur berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan membunuh bekas abang iparnya, pada 1 Syawal lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mohd Amin Mohamad, 32, sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, Suzana Mokhtar.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa telah membunuh Hanafiah Hanafi, 36, antara jam 7 pagi hingga 7.30 pagi di Jalan Solok Berangan Enam, Umbai, di sini pada 13 Mei lalu.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mandatori mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Arthana Sarma Rao, manakala tertuduh diwakili peguam Mohan Singh.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 16 Julai depan untuk serahan dokumen dan laporan kimia.

Sementara itu, tertuduh turut didakwa empat lagi pertuduhan di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh kerana telah mendatangkan kecederaan terhadap empat individu termasuk seorang lelaki yang merupakan teman lelaki bekas isterinya, Mah Azrul Mah Hussin, 39, dengan menggunakan tangan di bahagian kepala dan muka beberapa kali sehingga menyebabkan kecederaan patah rahang kanan di lokasi sama jam 11.55 malam, 11 Mei lalu.

Atas kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Mohd Amin turut dituduh telah mencederakan Hashimah Hanafi, 32, yang ketika itu masih isterinya dengan menggunakan rotan dan perbuatan itu tertuduh boleh disabit di bawah Seksyen 324 dan dibacakan bersama 326A Kanun Keseksaan.

Malah tertuduh juga berdepan satu lagi pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap dua orang anak perempuannya masing-masing berusia 10 tahun dan lapan tahun menggunakan rotan dan bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua kejadian itu dilakukan di Permatang Pasir Alai kira- kira jam 5 petang pada 15 Disember tahun lalu.

Tertuduh yang diwakili peguam yang sama, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh sama 16 Julai depan sebagai sebutan semula kes.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut selepas ditikam oleh bekas adik ipar yang mengamuk ingin mengambil dua orang anak perempuannya di Jalan Berangan Enam, Umbai.

ARTIKEL BERKAITAN: Berebut anak, bekas abang ipar maut ditikam pagi Syawal