Manfaatkan siaran radio untuk pembelajaran di luar bandar

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Kaedah pembelajaran menerusi medium siaran radio menjadi antara mekanisme yang patut digunakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), khususnya bagi masyarakat di luar bandar dan kawasan pedalaman.

Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) dan parti-parti pembangkang dalam kenyataan bersama berkata, KPM dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) perlu memberi tumpuan kepada aspek mekanisme tersebut kerana negara masih belum mencapai kestabilan dalam rangkaian penyampaian kandungan (CDN) untuk pelantar digital.

Justeru itu, jawatankuasa tersebut menyarankan beberapa perkara yang boleh kerajaan lakukan dalam usaha menghidupkan semula inisiatif pembelajaran menerusi siaran radio.

“Membuka semula siaran rancangan pendidikan melalui radio sebagai komplementasi kepada TV Pendidikan dan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Memperbanyakkan bahan pendidikan berteraskan radio melalui Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) dan jabatan pendidikan negeri (JPN) untuk diberikan kepada stesen-stesen radio nasional dan negeri sama ada awam mahupun swasta;

“Mendapatkan kerjasama syarikat telekomunikasi untuk membiayai rancangan-rancangan pendidikan melalui radio demi pendidikan anak-anak rentan dan mereka yang tidak mendapat capaian internet,” kata kenyataan itu pada Khamis.

Kenyataan bersama jawatankuasa itu dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan PH, Dr Maszlee Malik; Nik Nazmi Nik Ahmad mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR); Teo Nie Ching (DAP) dan Datuk Dr Hasan Baharom (Parti Amanah Negara atau Amanah)

Turut bersama ialah Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu atau UPKO), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Parti Ikatan Demokratik Malaysia atau MUDA), Datuk Amiruddin Hamzah (Parti Pejuang Tanah Air atau Pejuang) dan Ahmad Hassan (Parti Warisan Sabah atau Warisan).

Artikel Berkaitan:

Tambah kenyataan itu, pembelajaran menerusi platform internet hanya dapat dinikmati berdasarkan demografi dan pemilikan peralatan pembelajaran yang sesuai.

“Membimbangkan, keadaan ini akan menyebabkan pembelajaran pelajar di kawasan pedalaman dan kurang berkemampuan akan terus tercicir berbanding rakan-rakan mereka yang bernasib baik.

“Meskipun KPM telah melancarkan siaran TV Pendidikan melalui pihak swasta melalui slot berbayar airtime 17 jam setiap hari dengan jenama DidikTV yang dilaksanakan oleh stesen TV NTV7 (Media Prima) sejak 16 Feb 2021, ia tidak dapat berfungsi secara menyeluruh kepada setiap lapisan pelajar akibat slot siaran yang terhad dan kekangan infrastruktur,” menurut kenyataan berkenaan.