Tetapkan sasaran lebih jelas untuk pastikan rakyat ambil vaksin

Dr Adeba (atas, kanan) bercakap dalam sesi temu bual secara maya bersama Hussamuddin (bawah, kiri), Johan (bawah, kanan) dan Wong Chun Wai pada Rabu.
Dr Adeba (atas, kanan) bercakap dalam sesi temu bual secara maya bersama Hussamuddin (bawah, kiri), Johan (bawah, kanan) dan Wong Chun Wai pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM – Sasaran yang lebih jelas dalam skala komuniti yang lebih kecil antara langkah yang wajar ditetapkan dalam usaha memastikan lebih ramai rakyat di negara ini sedia mengambil vaksin Covid-19.

Ketetapan yang boleh dibuat kerajaan adalah seperti meletakkan sasaran membenarkan masjid dibuka atau dibenarkan 'dine-in' di restoran hanya bagi mana-mana daerah yang sudah mencapai lebih 80 peratus mereka yang berusia lebih 50 tahun divaksin.

Pandangan itu disuarakan oleh Pakar Penyakit Berjangkit Universiti Malaya, Dr Adeeba Kamarulzaman yang turut memberikan beberapa kaedah lain.

Menurutnya, dalam usaha itu peranan pemimpin setempat juga perlu digerakkan.

"Saya rasa kita perlu bekerjasama dengan ketua-ketua kampung, dengan imam-imam, dapatkan mereka terlebih dahulu untuk yang lain yakin.

"Memang benar vaksin memang ada kesan sampingan tetapi kesan jangkitan Covid-19 lebih teruk berbanding kesan mengambil vaksin. Ini fakta yang rakyat perlu tahu,” katanya dalam sesi temu bual secara maya bersama tiga pengamal media veteran pada Rabu.

Antara yang terlibat dalam sesi tersebut ialah Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Tokoh Wartawan Nasional, Tan Sri Johan Jaaffar dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Star Media, Datuk Seri Wong Chun Wai.

Dalam temu bual itu, Dr Adeeba yang juga Ahli Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berpendapat, sikap orang Melayu yang mudah percaya kepada berita palsu tentang kesan sampingan vaksin Covid-19 antara faktor ramai yang tidak mahu mengambil vaksin tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Orang kita sangat serahkan pada takdir, tiada inisiatif untuk buat sesuatu dan saya pasti agama kita tidak ajar kita untuk seperti itu,” katanya.

Justeru Dr Adeba menasihatkan orang Melayu terutama di negeri-negeri yang rendah kadar pengambilan vaksin agar tidak mempercayai berita palsu dan segera mengambil vaksin.

Dalam masa sama, beliau turut berpendapat perlunya lebih banyak ujian saringan Covid-19 dilakukan bagi memastikan golongan yang terdedah dengan jangkitan Covid-19 dapat mengasingkan diri.