Conte tinggalkan Inter

Antonio Conte
Antonio Conte
A
A
A

ANTONIO Conte mengambil keputusan untuk meninggalkan Inter Milan selepas berjaya membantu kelab itu menjuarai saingan Serie A musim ini.

Perkara itu disahkan Inter dalam satu kenyataan memaklumkan pengendali berusia 51 tahun itu menamatkan kontrak secara persetujuan bersama selepas dua musim mengendalikan pasukan.

"Inter Milan mahu mengumumkan bahawa kelab mencapai persetujuan penamatan kontrak bersama Antonio Conte. Seluruh kelab ingin mengucapkan terima kasih kepada Conte terhadap segala kerja kerasnya yang membawa pasukan memenangi Scudetto kali ke-19.

"Antonio Conte akan selamanya dikenang sebagai salah satu sejarah di kelab ini," kata kenyataan itu.

Sebelum ini, Conte dilaporkan kurang gembira dengan hasrat kelab yang mahu menjual beberapa pemain bintang seperti Romelu Lukaku pada jendela perpindahan akan datang untuk mengurangkan masalah kewangan yang dihadapi pasukan.

Ia sekali gus mencetuskan khabar angin mengenai keputusan Conte mahu meninggalkan pasukan sebelum ia disahkan oleh pengurusan kelab menerusi kenyataan pada Khamis.

Bagaimanapun, pengurusan Inter tidak menyatakan faktor utama pengunduran Conte dengan pembantu jurulatih, Cristian Stellini akan memangku tugas tersebut buat sementara waktu.

Artikel Berkaitan: