Penjual buah ditahan jual rokok seludup

Pemuda berbaju merah ditahan selepas disyaki menjual rokok seludup di tepi Jalan Krubong Jaya 2, pada petang Rabu.
Pemuda berbaju merah ditahan selepas disyaki menjual rokok seludup di tepi Jalan Krubong Jaya 2, pada petang Rabu.
A
A
A

MELAKA - Tindakan seorang penjual buah menjual rokok seludup di bawah khemah tepi jalan membawa padah apabila dia ditahan polis di Jalan Krubong, Jaya 2 di sini, pada petang Rabu.

Dalam kejadian jam 4 petang, pemuda berusia 22 tahun yang berasal dari Gemas, Negeri Sembilan itu baru seminggu menjalankan aktiviti perdagangan rokok tidak bercukai di kawasan berkenaan yang berhampiran dengan lokasi dia menjual buah-buahan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, perbuatan lelaki itu berjaya dikesan sepasukan polis berpakaian preman ketika operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui 6,344 batang rokok pelbagai jenama bernilai RM3,000 selain turut merampas wang tunai berjumlah RM400 dipercayai hasil jualan rokok tersebut.

Pemeriksaan yang dilakukan menemui 6,344 batang rokok pelbagai jenama bernilai RM3,000.
Pemeriksaan yang dilakukan menemui 6,344 batang rokok pelbagai jenama bernilai RM3,000.

"Pasukan polis terserempak dengan suspek yang bekerja sebagai penjual buah di sebuah khemah tepi jalan dalam keadaan yang mencurigakan.

"Pemeriksaan dilakukan mendapati kira-kira 24 karton rokok kontraban iaitu rokok tidak bercukai yang kebanyakannya rokok putih diletakkan di rak dan disimpan dalam kotak yang bertutup," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau berkata, lelaki itu ditahan dan permohonan reman terhadapnya akan dibuat di Mahkamah Ayer Keroh pada Khamis bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat di bawah Seksyen 116(c) dan Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.