Johor buktikan kematangan wakil rakyat

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

WAKIL rakyat di Johor membuktikan kematangan mereka apabila sanggup mengetepikan soal kepentingan politik demi bersama mencari jalan keluar mengatasi isu Covid-19 yang semakin meruncing di negeri itu.

Berdasarkan data status kes baharu Covid-19 mengikut negeri yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak seminggu lalu, Johor berada dalam kalangan lima negeri yang mencatatkan jumlah jangkitan Covid-19 tertinggi.

Pada 20 Mei lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyifatkan situasi Covid-19 di negeri itu cukup membimbangkan. Justeru, baginda menyeru agar perbincangan segera diadakan melibatkan 26 ahli Parlimen dan 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor.

Baginda bertitah, melalui perbincangan itu, semua ahli Parlimen dan ADUN boleh memberikan pandangan masing-masing dalam membendung penularan wabak Covid-19 dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat Johor.

Reaksi segera seterusnya diberikan wakil rakyat daripada blok kerajaan dan pembangkang terhadap titah Sultan Johor itu yang berjanji akan memberikan komitmen masing-masing dalam perbincangan itu kelak.

Pastinya perbincangan ini kelak akan mencetuskan satu sejarah baharu dalam arena politik Johor yang sebelum ini sering ‘panas’ memandangkan perbezaan jumlah kerusi yang tipis antara blok kerajaan dan pembangkang.

Terdapat 56 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan agihan terkininya iaitu UMNO dan DAP masing-masing 14, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (12), MIC (2), Pas (1) manakala Parti Amanah Negara (9) serta Parti Keadilan Rakyat (4).

Kerajaan Johor di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad yang mendapat sokongan dari UMNO, Bersatu, MIC dan Pas memiliki majoriti tipis dengan 29 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang Pakatan Harapan (PH) yang disertai DAP, Amanah dan PKR.

Artikel Berkaitan:

Justeru, perbincangan yang akan diadakan melibatkan kesemua ahli Parlimen dan ADUN di Johor dilihat cukup menarik kerana semua pihak mengetepikan kepentingan politik sejajar dengan titah Sultan Ibrahim.

Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia telah memberikan banyak impak dari segi ekonomi dan sosial.

Namun jika dilihat dari sudut yang positif, ia juga merupakan masa yang sesuai bagi pemimpin bersatu hati mengutamakan rakyat berbanding kepentingan politik mereka.

Perbincangan itu kelak diharap dapat memberikan banyak manfaat kepada rakyat Johor yang tentunya mahukan langkah yang mantap dan jitu daripada kepimpinan kerajaan negeri.

Bukan sahaja soal periuk nasi atau bantuan kepada rakyat yang perlu disalurkan tetapi pendekatan lebih luas dimahukan mereka termasuk peluang pekerjaan, pendidikan dan ekonomi yang stabil.

Ada juga yang mahukan Tambak Johor dibuka bagi merancakkan semula peluang ekonomi di negeri ini yang dilihat kini semakin malap terutama di bandar raya Johor Bahru yang menyaksikan beberapa hotel dan pusat beli-belah mula ditutup.

Pastinya rakyat Johor mahukan mesyuarat melibatkan ADUN dan ahli Parlimen itu kelak berjalan dengan lancar dengan tumpuan diberikan sepenuhnya kepada permasalahan Covid-19 dan membantu rakyat.

Hentikan segala kepentingan politik, utamakan rakyat yang kini memerlukan bantuan tatkala terjejas dengan pandemik itu.

* Nor Azura Md Amin ialah wartawan Sinar Harian Johor