Moral polis di AS jatuh

Moral pegawai-pegawai polis Amerika Syarikat kini tercemar ekoran kematian seorang pemuda kulit hitam, George Floyd di Minneapolis pada tahun lalu. - Foto AFP
Moral pegawai-pegawai polis Amerika Syarikat kini tercemar ekoran kematian seorang pemuda kulit hitam, George Floyd di Minneapolis pada tahun lalu. - Foto AFP
A
A
A

MORAL para pegawai polis di Amerika Syarikat (AS) kini berada pada tahap yang rendah selepas lebih setahun insiden seorang penduduk kulit hitam Amerika Syarikat (AS) berketurunan Afrika, George Floyd mati akibat tindakan seorang pegawai polis berkulit putih di bandar raya Minneapolis.

Floyd, 46, meninggal dunia di sebuah hospital di bandar raya tersebut yang terletak di Minnesota pada 25 Mei 2020 selepas tidak sedarkan diri kerana tindakan seorang pegawai polis ketika itu, Derek Chauvin yang mengepit leher pemuda kulit hitam tersebut dengan menggunakan kedua-dua lututnya.

Chauvin, 45, mengepit leher pemuda kulit hitam itu lebih sembilan minit dan dia kini sedang menunggu hukuman yang dijatuhkan ke atasnya selepas didapati bersalah di sebuah mahkamah di Minneapolis pada April lalu atas tiga tuduhan menyebabkan kematian lelaki berkenaan.

Floyd ditangkap oleh polis selepas dia dituduh membeli sebungkus kotak rokok dengan menggunakan wang palsu sebanyak AS$20 (RM82.85) di sebuah kedai di Minneapolis selepas polis dihubungi untuk menangkapnya.

Chauvin yang sudah dipecat daripada jawatannya kini sedang menunggu hukuman yang bakal dijatuhkannya itu tetapi bekas pegawai polis tersebut kemungkinan dihukum penjara lebih 40 tahun.

Namun, pada awal bulan ini, Chauvin telah memohon supaya satu perbicaraan baharu diadakan selepas dia mendakwa tidak mendapat perbicaraan yang adil semasa kesnya dibicarakan sehingga pihak juri memutuskannya bersalah kerana menyebabkan kematian Floyd.

Bagaimanapun, keputusan tentang perbicaraan semula itu masih belum diputuskan oleh Mahkamah Daerah Minneapolis.

Kes kematian Floyd dan pembunuhan seorang wanita kulit hitam AS iaitu Breonna Taylor akibat ditembak oleh polis dan beberapa warga berkulit hitam Amerika lain telah menimbulkan isu amalan ketidakadilan kaum serta perbuatan ganas yang dilakukan oleh polis negara tersebut.

Artikel Berkaitan:

Kejadian Chauvin yang didapati menyebabkan kematian Floyd itu sebenarnya turut memberikan kesan terhadap institusi kepolisian di AS apabila kira-kira 2,600 pegawai polis meninggalkan jawatan masing-masing pada tahun lalu.

Setelah kematian Floyd yang merupakan bapa kepada lima orang anak itu, pihak polis di negara tersebut juga mengalami kesukaran untuk mendapatkan anggota-anggota baharu bagi menjaga keselamatan AS.

Keadaan itu dapat dilihat di bandar Charlotte, Amerika apabila permohonan daripada orang ramai untuk menjadi pegawai polis menurun sebanyak 26 peratus dalam tempoh empat bulan tahun ini.

Dakwaan itu dibuat oleh jurucakap polis Jabatan charlotte-Mecklenburg, Rob Tufano kepada portal berita Axios.

Gambar fail menunjukkan seorang wanita berjalan melintasi poster lelaki kulit hitam, George Floyd yang mati akibat tindak-tanduk seorang pegawai polis berkulit putih di Minneapolis. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan seorang wanita berjalan melintasi poster lelaki kulit hitam, George Floyd yang mati akibat tindak-tanduk seorang pegawai polis berkulit putih di Minneapolis. - Foto AFP

Situasi penurunan permohonan untuk menjadi pegawai polis itu turut terjadi di Jabatan Polis Des Moines apabila kira-kita 300 permohonan diperoleh pada bulan lalu iaitu berkurangan sebanyak 50 peratus pada tahun lalu.

Dalam pada itu, tindak-tanduk para pegawai polis di AS kini menjadi perhatian ramai pihak sehingga terdapat tanggapan bahawa pegawai-pegawai polis yang baik telah diberikan tafsiran tidak sewajarnya hanya disebabkan perbuatan buruk seorang anggota polis.

"Pada kebiasaannya, perbualan seperti itu kerap didengar pada setiap hari," kata seorang pegawai polis di pinggir Chelsea, Boston iaitu Jose Rodriguez seperti yang dilaporkan oleh AFP.

Dia berkata, sebahagian pegawai polis lain terpaksa meninggalkan perkhidmatan itu bukan disebabkan oleh umur persaraan sahaja.

Katanya, ia juga disebabkan tidak mahu menanggung beban pandangan serong terhadap mereka berikutan kejadian-kejadian yang berlaku sebelum ini terhadap pasukan keselamatan tersebut.

Pada tahun lalu, seorang wanita muda berkulit hitam, Breonna Taylor yang berusia 26 tahun mati ditembak di rumahnya di Louisville oleh beberapa anggota polis pada bulan Mac tahun lalu.

Ketika kejadian, beberapa pegawai polis yang berpakaian biasa menceroboh rumah Breonna kerana mengesyaki terdapat dadah di dalam rumahnya sebelum melepaskan tembakan ke arahnya selepas wanita berkenaan menyangka terdapat penceroboh sedang memasuki rumahnya.

Dalam pada itu, rakan setugas Rodriguez iaitu Sarjan Joseph Bevere pula berkata kepada AFP bahawa pengambilan pegawai-pegawai polis baharu turut terjejas ekoran kematian Floyd akibat tindak tanduk pegawai polis berkulit putih pada tahun lalu itu.

"Ia memalukan (tindakan Chauvin yang menyebabkan kematian Floyd). Polis merupakan kerjaya yang hebat kerana ia membantu orang ramai," kata Bevere seperti dilaporkan oleh AFP.

Dia juga menjelaskan bahawa polis perlu bekerja keras bagi mendapatkan semula keyakinan orang ramai terhadap perkhidmatan pasukan keselamatan itu di AS.

Beberapa pihak sebelum ini berkata, keganasan polis dan tuduhan rasisme dalam pasukan polis di AS telah menghakis kepercayaan orang ramai terhadap institusi kepolisian itu sendiri. - Agensi