16 dikompaun langgar SOP PKP ketika urus jenazah

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 16 ahli keluarga dan seorang pengurus sebuah tempat pengebumian di Jalan Sungai Tiram, Ulu Tiram di sini dikompaun kerana melakukan upacara pengurusan jenazah melebihi jumlah individu yang dibenarkan pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, ahli keluarga terdiri daripada 10 lelaki dan enam wanita tempatan berusia lingkungan 18 hingga 86 tahun itu dikesan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada kira-kira jam 11 pagi hasil aduan orang awam.

“Kita terima aduan yang mengatakan bahawa terdapat ramai orang berkumpul di tempat pengebumian tersebut.

"Hasil pemeriksaan, kita dapati mereka tidak mematuhi SOP yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana bilangan kehadiran ahli keluarga yang dibenarkan tidak melebihi 10 orang sahaja,” menurutnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, setiap ahli keluarga terbabit dikompaun sebanyak RM2,000 manakala pengurus lelaki berusia 51 tahun itu dikompaun RM10,000 mengikut Peraturan 16 Akta Pencegahan dan Kawalan Peraturan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Kawasan Tempatan yang Dijangkiti) 2021.

MKN menetapkan SOP bilangan kehadiran ahli keluarga tidak melebihi 10 orang dan ini tidak termasuk Ahli Jawatankuasa Tanah Perkuburan atau Krematorium semasa pelaksanaan PKP. - Bernama

Artikel Berkaitan: