Lebih 9,000 tidak hadir terima vaksin di Perak

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Dianggarkan lebih 9,000 penduduk di Perak dengan sebahagian besar berusia 60 tahun ke atas dikesan gagal hadir menerima suntikan vaksin pada tarikh ditetapkan.

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, jumlah itu membabitkan individu yang dijadualkan menerima dos pertama bagi pemberian vaksin fasa kedua.

"Sehingga kini, sebanyak 9,009 individu dikesan tidak hadir," katanya ringkas menerusi mesej di aplikasi WhatsApp di sini pada Rabu.

Setakat Selasa, data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menunjukkan seramai 774,288 rakyat Perak telah mendaftar sebagai penerima vaksin iaitu mewakili 40.04 peratus daripada jumlah penduduk negeri ini.

Fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang mengutamakan warga emas, orang kurang upaya dan golongan berpenyakit kronik telah bermula 19 April.

Notis janji temu bagi suntikan vaksin diberikan mulai 5 April, dua minggu awal sebelum tarikh janji temu menerusi aplikasi MySejahtera, panggilan telefon dan sistem pesanan ringkas (SMS).

Sinar Harian pada 24 Mei lalu melaporkan kerajaan negeri Kelantan mendedahkan kira-kira 10,000 rakyat di negeri itu tidak hadir janji temu untuk suntikan vaksin Covid-19 pada tarikh yang ditetapkan.

ARTIKEL BERKAITAN: 10,000 individu ponteng janji temu vaksin di Kelantan

Artikel Berkaitan: