Perkhidmatan Tajuddin sebagai Pengerusi Prasarana ditamatkan

Surat penamatan perkhidmatan Tajuddin sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yang tular di media sosial.
Surat penamatan perkhidmatan Tajuddin sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yang tular di media sosial.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kerajaan pada Rabu menamatkan khidmat Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) serta-merta.

Perkara itu disahkan oleh Jurucakap Media Kementerian Kewangan selepas satu surat bertarikh 26 Mei yang dihantar kepada Tajuddin tular di laman sosial.

Menerusi surat berkenaan, Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bersetuju menamatkan khidmat Ahli Parlimen Pasir Salak itu.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas perkhidmatan dan sumbangan yang telah Datuk Seri berikan kepada Prasarana sepanjang menjadi pengerusi bukan eksekutif syarikat,” katanya menerusi surat yang ditandatangani pada Rabu.

Dalam kejadian pada jam 8.33 malam Isnin, sebuah tren tidak membawa penumpang bertembung dengan sebuah lagi tren yang membawa 213 orang penumpang.

Daripada jumlah itu, 64 orang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur membabitkan enam orang kritikal termasuk tiga lagi memerlukan bantuan ventilasi.

Selain itu, seramai 15 orang dilaporkan separa kritikal dan 43orang tidak kritikal Tajuddin dalam sidang akhbar selepas kejadian itu dikecam pelbagai pihak kerana didakwa tidak sensitif berhubung tragedi kemalangan melibatkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tajuddin akui silap ketika kendali sidang media: Najib

Artikel Berkaitan:

Bekas Perdana Menteri, Datuk SerI Najib Tun Razak kemudiannya dalam satu catatan di Facebooknya berkata, Tajuddin mengakui dirinya melakukan kesilapan ketika mengendalikan sidang akhbar berhubung kemalangan dua tren LRT itu.

Menurut Najib, pengakuan itu dibuat Tajuddin ketika beliau menghubunginya susulan tular laporan beliau dikatakan tidak sensitif dengan tragedi tersebut.

Beliau berkata, Tajuddin juga akan memastikan siasatan penuh punca tragedi dan tidak akan menyorok sebarang maklumat atau melindungi sesiapa.

Tajudin turut memaklumkan akan memastikan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dilaksanakan secepat mungkin bagi mengelakkan tragedi itu berulang.