PKPD di 15 lagi lokaliti di Semenanjung, Sabah

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

SHAH ALAM – [DIKEMASKINI] Peningkatan kes positif Covid-19 di negara ini menyaksikan peningkatan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melibatkan sejumlah lagi lokaliti di Semenanjung dan Sabah.

Terbaharu, pada Rabu, kerajaan mengumumkan 15 lagi lokaliti bakal dilaksanakan PKPD berkuat kuasa 28 Mei sehingga 10 Jun 2021.

Lokaliti terlibat adalah Mukim Parit Buntar, Kerian, Perak; dua pangsapuri di Cheras, Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur; Taman Dato' Tengku Paris dan Felda Tersang 1,2 dan 3, Mukim Batu Talam, Raub Pahang; Mukim Perak dan Mukim Bangau, Temerloh, Pahang.

Selain itu, PKPD turut membabitkan Kampung Pirasan Ulu, Kota Belud, Sabah; empat perkampungan dalam daerah Kunak, Sabah (Kampung Kabog,Kampung Kabog Baru, Kampung Kunak Darat dan Kampung Kunak 3)serta tiga kampung dalam Daerah Tawau iaitu Kampung Sungai Pukul, Pulau Sebatik; Taman Desa Ranggu; dan Taman Sawit Balung.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketetapan tersebut dibuat setelah Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati kes telah menular di semua lokaliti tersebut dengan kadar keboleh jangkitan sangat tinggi.

“KKM juga mendapati Mukim Parit Buntar mencatatkan 44 peratus daripada jumlah keseluruhan kes semasa di Daerah Kerian bagi tempoh 10 Mei sehingga 23 Mei 2021.

“Sehingga kini, terdapat 82 kes positif Covid-19 telah direkodkan hasil daripada 623 ujian saringan yang telah dilakukan KKM dengan kadar positiviti ialah 13.1 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau, dua pangsapuri di Cheras yang terlibat PKPD adalah Pangsapuri Permai (semua blok) dan Pangsapuri Sri Penara (Blok C & D).

Artikel Berkaitan:

“KKM mendapati sebanyak 78 kes positif dikesan hasil daripada 101 ujian saringan dilakukan di Pangsapuri Permai.

“Di Pangsapuri Sri Penara pula, terdapat 111 kes positif Covid-19 selepas 123 orang penghuni disaring,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, sejumlah 22 kes dikesan iaitu tujuh di Taman Dato’ Tengku Paris; Felda Tersang (1); tiga (3) di Felda Tersang 3 dan 11 lagi libatkan pekerja warga asing sebuah kilang sawit.

“Di Mukim Perak dan Mukim Bangau, Temerloh, Pahang pula, sebanyak 180 kes positif telah direkodkan hasil ujian saringan ke atas 1,433 orang di kedua-dua mukim tersebut,” katanya.

Sementara itu bagi PKPD di Sabah, sehingga kini, KKM melaksanakan 62 ujian saringan dan 17 daripadanya disahkan positif Covid-19 di empat perkampungan dalam daerah Kunak, Sabah.

Bagi Kampung Pirasan Ulu, Kota Belud, Sabah pula didapati berlaku peningkatan ketara kes dalam tempoh seminggu apabila 26 kes dikesan hasil daripada keseluruhan 53 ujian disaring yang telah dilakukan oleh KKM.

Tiga lokaliti dalam daerah Tawau, Sabah menunjukkan trend peningkatan kes dalam tempoh seminggu iaitu 11 kes dikesan daripada 73 yang disaring di Kampung Sungai Pukul, Pulau Sebatik; Taman Desa Ranggu Tawau (11 kes daripada 30 disaring) dan Taman Sawit Balung merekodkan 13 kes daripada 15 saringan.