Cadang 'lockdown' setiap rumah dijangkiti Covid-19

Noh (kanan) menyampaikan bantuan sumbangan keperluan kepada salah seorang penduduk di Kampung Lembah Pantai di sini pada Rabu.
Noh (kanan) menyampaikan bantuan sumbangan keperluan kepada salah seorang penduduk di Kampung Lembah Pantai di sini pada Rabu.
A
A
A

TANJONG KARANG - Kerajaan dicadang melaksanakan sekatan pergerakan atau 'lockdown' di setiap rumah yang didapati positif Covid-19 dan mempunyai kontak rapat.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, langkah itu diharap dapat memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Menurutnya, sekatan keluar rumah dengan membabitkan keseluruhan penghuni itu dilihat lebih bersasar sekali gus dapat mengawal perebakan jangkitan pandemik berkenaan.

"Kalau kita tidak dapat melaksanakan lockdown seluruh negara, mungkin pelaksanaan boleh dibuat di rumah secara bersasar.

"Katakanlah sebuah rumah terdapat seorang penghuni positif Covid-19 atau mempunyai kontak rapat, maka semua penghuni di rumah terbabit perlu dikuarantin seperti tidak boleh keluar rumah dan keluar bekerja sementara," katanya dalam sidang akhbar selepas penyampaian bantuan sumbangan barangan keperluan kepada penduduk positif Covid-19 di Kampung Lembah Pantai di sini pada Rabu.

Noh sempat mengagihkan sumbangan kepada kira-kira 100 keluarga yang didapati positif Covid-19 atau mempunyai kontak rapat di Parlimen Tanjong Karang.

Noh berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga perlu memikirkan kaedah paling cepat untuk mendapatkan keputusan saringan termasuk menggunakan ujian Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag).

"Pada masa sekarang, KKM hanya mengiktiraf ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) yang mengambil masa lama untuk diproses.

Artikel Berkaitan:

"Ini menyebabkan ada di antara mereka yang sedang menunggu keputusan ujian masih boleh keluar rumah dan terus bekerja seperti biasa," katanya.

Tambah beliau, keadaan itu menyebabkan kadar jangkitan kes lebih tinggi boleh berlaku sekiranya individu yang menjalani saringan RT-PCR didapati positif Covid-19.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu ada prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dan perlu membuat pemantauan selain tindakan tegas diambil kepada mereka yang tidak mengikut peraturan," katanya.

Beliau memberitahu, perkara sama juga perlu dilakukan di semua kilang yang terbabit dalam perkhidmatan penting.

"Saya difahamkan, sesebuah kilang perlu menunggu 30 peratus pekerja positif Covid-19 baru dibenarkan tutup.

"SOP bukan sahaja tertakluk di kedai makan tetapi ia mestilah dilakukan menyeluruh bagi membendung pandemik ini," katanya.