Benarkan klinik swasta beri suntikan vaksin

PPIK mencadangkan kerajaan supaya membenarkan klinik atau hospital swasta untuk memberikan vaksinasi kepada masyarakat. Gambar kecil: Dr. Mohd. Fared
PPIK mencadangkan kerajaan supaya membenarkan klinik atau hospital swasta untuk memberikan vaksinasi kepada masyarakat. Gambar kecil: Dr. Mohd. Fared
A
A
A

KOTA BHARU - Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK) mencadangkan kerajaan supaya membenarkan klinik atau hospital swasta untuk memberikan vaksinasi kepada masyarakat.

Yang Dipertuanya, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani berkata, langkah itu dijangka boleh membantu meningkatkan jumlah pengambilan vaksin dalam kalangan rakyat di negeri ini.

Menurut beliau, ada kalangan masyarakat masih berpegang dengan persepsi lama iaitu lebih 'mempercayai' doktor atau klinik pilihan mereka berbanding mendapatkan rawatan terus daripada hospital dan sebagainya.

"Pada masa sama, ia dapat membantu mempercepatkan lagi proses vaksinasi tanpa menunggu giliran yang panjang supaya lebih ramai rakyat dapat divaksinkan dalam tempoh waktu lebih singkat," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Apatah lagi, kata beliau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini sudah masuk gelombang ketiga, namun tiada petunjuk bahawa ia akan berakhir dalam waktu yang terdekat.

Mohd. Fared turut menggesa supaya sanitasi menyeluruh dilakukan bagi memastikan masyarakat berasa selamat terutamanya di kawasan-kawasan zon merah.

"Kerajaan juga boleh meletakkan syarat bagi sesiapa yang mahu merentas kawasan perlu divaksin, nak masuk kerja pun perlu vaksin, ke pasar raya dan sebagainya dengan syarat vaksinasi boleh dilakukan di klinik-klinik swasta.

"Adalah menjadi harapan supaya negara kita bebas Covid-19 dan masyarakat kembali menjalani kehidupan normal, ekonomi negara dapat dipulihkan serta di pacu semula," katanya.

Artikel Berkaitan: