X

Kindly register in order to view this article
!

Ahli perniagaan didakwa kemuka 30 dokumen palsu tuntut RM1.27 juta

Mohd Hazrul Izham Ali Akbar, 38, (kiri) dituduh mengemukakan 30 dokumen palsu iaitu invois cukai milik Syarikat Rezeki Naga kepada KPDNKK Sabah ketika itu, bagi tujuan menipu mendapatkan tuntutan untuk membekal dan mengedar petrol RON95 serta diesel Syarikat Champion Enterprise. - Foto Bernama
A
A

KOTA KINABALU - Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas 30 pertuduhan mengemukakan tuntutan menggunakan dokumen palsu melibatkan lebih RM1.27 juta pada 2015.

Mohd Hazrul Izham Ali Akbar, 38, dituduh mengemukakan 30 dokumen palsu iaitu invois cukai milik Syarikat Rezeki Naga kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sabah ketika itu, bagi tujuan menipu mendapatkan tuntutan untuk membekal dan mengedar petrol RON95 serta diesel Syarikat Champion Enterprise.

Dia yang dituduh melakukan perbuatan itu di pejabat KPDNKK Sabah di sini pada 12 Oktober 2015, didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 468 kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tujuh tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Abu Bakar Manat membenarkan tertuduh yang diwakili peguam Kamarudin Mohd Chinki diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Julai untuk sebutan semula kes.

Di mahkamah sama seorang penolong pengurus syarikat Hassan Ho Abdullah, 35, mengaku tidak bersalah atas lapan pertuduhan mengemukakan tuntutan menggunakan dokumen palsu melibatkan RM172, 980 kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah tiga tahun lepas.

Hassan didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu Surat Akuan dan Pengesahan Stesen Napson untuk tujuan menipu bagi tuntutan Projek Community Drumming di bawah Majlis Harga Barang Negara (MHBN) bagi syarikat Setia Gemilang Enterprise.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat KPDNHEP Cawangan Kudat pada 27 Nov 2018 dan juga dituduh mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Hassan yang diwakili peguam Amli Nohin dibenarkan diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan mahkamah menetapkan 2 Julai untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Rekhraj Singh. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!