Banjir di Sarawak pulih, dua PPS terakhir ditutup

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - [DIKEMASKINI] Dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Limbang ditutup selepas banjir yang melanda Sarawak sejak 19 Mei lalu berakhir pada Rabu.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, PPS di Dewan Kampung Bidang dan Dewan Buloh Baloi ditutup pada jam 2 petang Rabu.

Sekretariat itu menyebut sejumlah 52 mangsa daripada 17 keluarga di kedua-dua PPS telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Banjir melanda beberapa kawasan di utara Sarawak susulan hujan lebat yang bermula pada Rabu lepas.

Di Sabah, mangsa banjir yang masih berada di PPS turun mendadak kepada 710 orang daripada 187 keluarga setakat jam 4 petang ini berbanding 3,435 orang daripada 913 keluarga pagi Rabu.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan, 17 PPS di Tenom telah diisytiharkan tutup petang Rabu menjadikan hanya tiga PPS masih beroperasi di daerah itu yang menempatkan 118 orang daripada 34 keluarga.

Sementara itu, mangsa banjir di Beaufort pula turun kepada 592 orang daripada 153 keluarga berbanding 603 orang daripada 155 keluarga yang kini berada di empat PPS. - Bernama

Artikel Berkaitan: