Beri alasan nak ke kedai dobi untuk rentas daerah

Ahmad Shukri Mat Akhir (kanan) melakukan pemeriksaan 'snap check' di Kampung Alor Ganu pada Rabu.
Ahmad Shukri Mat Akhir (kanan) melakukan pemeriksaan 'snap check' di Kampung Alor Ganu pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Cubaan merentas daerah untuk ke kedai dobi antara alasan yang diterima ketika pemeriksaan 'snap check' di Kampung Alor Ganu, di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pelbagai alasan remeh lain turut diberikan pemandu kenderaan yang dikesan merentas daerah menggunakan laluan tikus di sempadan Kota Setar- Kubang Pasu itu.

Beliau memberitahu, antara alasan itu ialah mendapatkan bekalan makanan, membeli sarapan pagi dan melawat ahli keluarga mereka ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kota Setar.

"Sempadan Kota Setar- Kubang Pasu terletak di Kampung Alor Ganu ini, sebelahnya ialah kawasan Kota Setar manakala selepas jambatan merupakan kawasan Kubang Pasu.

"Ketika pemeriksaan, kebanyakan kesalahan dikesan ialah penduduk Kubang Pasu cuba merentas ke sebelah Kota Setar dan ada penduduk Kota Setar cuba mendapatkan bekalan makanan di daerah lain," katanya kepada pemberita selepas Ops Pemantauan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada Rabu.

Ahmad Shukri sebelum itu mengetuai sepasukan 13 anggota dan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah melakukan pemeriksaan 'snap cheak' di sempadan Kota Setar- Kubang Pasu dan sempadan Kota Setar-Pokok Sena.

Dalam operasi membabitkan dua laluan tikus bermula jam 10 pagi itu, polis turut menahan warga Rohingya dan mengeluarkan 12 kompaun kerana merentas daerah tanpa kebenaran kepada pengguna jalan raya.

Katanya, mereka dikompaun RM5,000 setiap seorang bagi kesalahan merentas daerah manakala lelaki warga asing yang hanya mengemukakan kad pelarian bangsa-bangsa bersatu (UNHCR) ditahan untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Ahmad Shukri memaklumkan, pihaknya tidak bercadang menutup laluan tikus berkenaan kerana ada kenderaan memiliki kebenaran rentas menggunakan laluan itu sebagai jalan alternatif.

"Kita masih dalam tempoh PKPD, jadi masyarakat perlu faham PKPD tiada pergerakan kecuali untuk perkhidmatan tertentu yang mendapat kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sahaja.

"Saya juga ingin ingatkan bahawa pentadbiran IPD Kota Setar ada dua daerah iaitu Kota Setar dan Pokok Sena. Jadi masyarakat perlu faham merentas dari Pokok Sena ke Kota Setar atau Kota Setar ke Pokok Sena merupakan satu kesalahan dan tidak dibenarkan ketika PKPD," katanya.

Menurutnya, pekerja penghantaran makanan dari Pokok Sena juga tidak dibenarkan merentas daerah ke Kota Setar dan begitu juga sebaliknya ketika tempoh PKPD Kota Setar ini.