X

Kindly register in order to view this article
!

Kerja baik pulih LRT mencabar

Kerja-kerja pemulihan itu dilakukan sepenuh masa secara tiga syif oleh kakitangan daripada pelbagai jabatan termasuk kejuruteraan dan teknikal.
A
A

KUALA LUMPUR - Operasi mengeluarkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang bertembung berdekatan Stesen LRT KLCC malam Isnin lalu diteruskan memasuki hari kedua.

Prasarana dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, kerja-kerja pemulihan itu dilakukan sepenuh masa secara tiga syif oleh kakitangan daripada pelbagai jabatan termasuk kejuruteraan dan teknikal.

Menurut kenyataan itu, kerja-kerja pemulihan tersebut berjalan lancar dan dijangka selesai dalam masa tiga hari seperti diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

"Sejurus selepas kerja-kerja menyelamat dan mengeluarkan mangsa pada malam berkenaan, pasukan pemulihan memulakan kerja mereka serta merta dengan membuat penilaian terhadap kerosakan diikuti kerja-kerja awalan sebelum memulakan kerja-kerja pemulihan,” menurut kenyataan itu pada Rabu.

Katanya, bahagian paling mencabar adalah untuk memisahkan gerabak-gerabak di kedua-dua tren dan menaikkan enam gerabak yang tergelincir ke atas landasan.

"Sehingga malam Selasa, lima daripada enam gerabak sudah berjaya dinaikkan. Kerja-kerja hari ini tertumpu kepada gerabak terakhir dan kerja-kerja berkaitan proses mengeluarkan tren yang akan dibawa ke Depoh LRT Kelana Jaya di Subang,” tambah kenyataan itu.

Dalam kejadian sekitar jam 8.45 malam Isnin lalu pertembungan dua tren itu menyebabkan 47 penumpang parah manakala 166 lagi cedera ringan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!